Habib Haroon (tengah) laung keyakinan pacu kemenangan pasukannya berdepan Selangor FC. FOTO GHAZALI KORI
Habib Haroon (tengah) laung keyakinan pacu kemenangan pasukannya berdepan Selangor FC. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Terengganu FC (TFC), Habib Haroon melaungkan keyakinan untuk terus memacu kemenangan pasukannya yang bakal berdepan Selangor FC pada aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Jelas pemain kelahiran Bahrain itu, kemenangan menundukkan skuad Gergasi Merah itu pada aksi suku akhir Piala Malaysia menambah lagi keyakinannya untuk terus melakar kejayaan.

Tambah pemain berusia 23 tahun itu, rekod tanpa kalah sejak tiga bulan lalu selain melakar kemenangan 1-0 menundukkan kelab Australia, Central Coast Mariners pada aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC memberikan tonik berharga buatnya serta rakan sepasukan.

Bagaimanapun pemain yang sudah tiga musim menyarung jersi skuad Penyu itu menasihati dirinya dan rakan sepasukannya agar berwaspada dengan kebangkitan skuad Selangor FC yang pasti hadir dengan semangat dan strategi berbeza.

"Secara keseluruhan pasukan kami sentiasa bersedia untuk semua pasukan yang ditentang termasuk Selangor FC kerana kami percaya semua pasukan mempunyai kualiti dan apa yang diperlukan untuk bersaing.

"Misi kami pastinya mahu mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus bakal meningkat lagi motivasi kami untuk perlawanan seterusnya dalam saingan liga, Piala Malaysia dan Piala AFC.

"Namun kami sedar perlawanan menentang Selangor sentiasa sukar sebagaimana tiga aksi terdahulu musim ini, tapi dengan persiapan pasukan saya amat percaya kemenangan akan menjadi milik kita lebih-lebih bermain di tempat sendiri," katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip 35 mata manakala Selangor FC kini berada di tangga kedua dengan mengumpul 49 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 9:19 PM