PEMAIN TFC bergambar kenangan dengan penyokong mereka selepas mengikat kelab Central Coast Mariners di Australia, semalam. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN TFC bergambar kenangan dengan penyokong mereka selepas mengikat kelab Central Coast Mariners di Australia, semalam. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akui beliau bagaikan hilang kata-kata melihat persembahan bertenaga dan semangat juang yang tinggi diperagakan pemainnya ketika berdepan juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners di Stadium Industree Group Gosford, semalam.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, hal ini kerana beliau tidak menjangka anak buahnya berjaya mengekang dan mengimbangi corak permainan kelab terbaik Australia itu walaupun pasukannya tempang selepas kehilangan empat tonggak pertahanan akibat kecederaan.

Kata bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu, misi sekurang-kurangnya mencuri satu mata di tempat lawan berhasil ketika ramai pemerhati sukan popular itu meramalkan pasukannya bakal dibelasah kelab dari negara kangaru itu.

Lebih manis jelasnya, anak buahnya terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi penyerang meningkat naik, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob sebelum tuan rumah meledak gol penyamaan 1-1 pada penghujung babak kedua.

"Sejujurnya misi untuk membawa pulang satu mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah begitu sukar lebih-lebih lagi kami kehilangan ramai pemain pertahanan di tambah pasukan lawan begitu kebal di tempat mereka selepas membelasah dua kelab terdahulu dalam kumpulan.

"Namun sebelum perlawanan saya sudah ingatkan mereka agar beraksi dengan baik, berjuang habis-habisan sehingga minit terakhir perlawanan selain perlu bijak bertahan dan memanfaatkan peluang terhidang dengan jaringan kerana lawan pasti menekan bermula awal permainan untuk memburu gol.

"Akhirnya pemain berjaya merealisasikan impian sukar itu dengan mendahului tuan rumah sebelum akur membenarkan gol penyamaan lawan pada penghujung babak kedua walaupun kerap diasak dengan deretan percubaan berbahaya pelawat.

"Tahniah buat semua yang beraksi dengan baik walaupun ada beberapa situasi pemain melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga membuka peluang buat skuad lawan untuk menjaringkan gol.

"Satu mata sudah memadai walaupun kita berpeluang untuk mengulangi kemenangan 1-0 di Kuala Terengganu, jika pemain tidak leka pada penghujung babak kedua itu, mungkin kita berjaya membawa pulang tiga mata," kata pengendali yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' ketika dihubungi.

Dengan keputusan itu, TFC dilihat berpeluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia itu selepas kini kekal menghuni di tangga kedua Kumpulan G dengan hanya ketinggalan satu mata di belakang kelab Australia itu yang mengumpul 10 mata.

Bagaimanapun, skuad Penyu perlu menang pada aksi terakhir menentang kelab Indonesia, Bali United pada 13 Disember depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memastikan tiket ke pusingan seterusnya sah menjadi milik skuadnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 3:18 PM