MAHMOUD Al-Mardi. -FOTO Izzali Ismail
MAHMOUD Al-Mardi. -FOTO Izzali Ismail
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mahmoud Al-Mardi berazam membuktikan kemampuannya bagi memulakan langkah pertamanya dalam Liga Malaysia bermula dengan saingan Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) pada perlawanan pusingan kedua di Kuala Terengganu malam ini.

Beraksi cemerlang dengan catatan hatrik ketika menewaskan Visakha FC dalam saingan Piala AFC di Bali minggu lalu, Al-Mard yang adalah pemain yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim.

Dia yang mewakili skuad kebangsaan Jordan dan adalah bekas pemain kelab Bahrain, Al-Muharraq SC berkata, impiannya bersama KDA FC adalah memastikan kejayaan tertinggi yang dapat dicapai bersama Sang Kenari pada musim ini.

"Saya hadir ke KDA FC dengan impian mahu memberi aksi seratus peratus dengan apa yang saya mampu lakukan. Saya mahu pastikan penyokong Kedah gembira pada perlawanan yang akan kami lalui dalam Liga Malaysia nanti.

"Kontrak saya ini bersama pasukan KDA FC ini agak pendek dan pastinya saya mahu buktikan segala yang terbaik pada perlawanan yang akan kami hadapi.

"Misi kami pada aksi pertama saya dalam Liga Malaysia iaitu Piala FA ini adalah mendapatkan kemenangan dan Insya-Allah kami akan cuba buktikan," katanya.

Mahmoud turut berkata beliau sedar akan tekan dan harapan tinggi daripada kalangan penyokong selepas mencatat nama selaku penjaring hatrik pada perlawanan Piala AFC lalu.

"Memang saya akui apabila dapat beraksi dan mencapai tahap permainan dengan baik pada perlawanan permulaan, penyokong akan mula memberi harapan yang tinggi buat saya dan Insya-Allah saya akan terus berusaha mencapai apa yang diharapkan semua pihak.

"Namun, saya masih perlukan masa dan jumlah perlawanan seterusnya untuk saya terus menyesuaikan diri dan bergandingan bersama pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 1:23 PM