KAPTEN Terengganu FC, Habib Haroon (tengah) idam tiga mata berdepan Penang FC. -FOTO Ghazali Kori
KAPTEN Terengganu FC, Habib Haroon (tengah) idam tiga mata berdepan Penang FC. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas berjaya menyekat hajat besar kelab Australia, Central Coast Mariners, pemain Terengganu FC (TFC) idam tiga mata berdepan Penang FC pada aksi kedua terakhir Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Ahad ini.

Kapten TFC, Habib Haroon berkata, biarpun kemenangan itu nanti tidak mampu membantu pasukannya mendaki di kedudukan yang lebih baik, namun kemenangan itu penting untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan liga di tempat keenam.

Jelas pemain kelahiran Manama, Bahrain itu, tiga mata itu juga bagi mengelak pasukannya daripada tergelincir ke tangga ketujuh atau kelapan kerana pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan PDRM FC kini mengekori rapat dengan perbezaan dua mata berbanding TFC dengan 36 mata di tempat keenam.

Bagaimanapun pemain berusia 23 tahun yang mula menyarung jersi TFC sejak 2021 sedar skuad Harimau Kumbang itu semakin 'mengaum' terutama selepas masih segar sesudah membenam Sri Pahang FC 3-2 pada Ahad lalu.

Namun Habib berkeyakinan jurulatih, Tomislav Steinbruckner bakal menyenaraikan barisan terbaik sebagaimana ketika terikat 1-1 dengan kelab Australia itu di Stadium Industree Group Gosford, Rabu lalu.

"Saya tidak fikir pertemuan kedua terakhir liga menentang Penang FC pada Ahad ini sekadar perlawanan melengkapkan jadual perlawanan kerana pasukan kami sudah tidak berpeluang untuk mencabar kedudukan kelima atau keempat liga.

"Sebaliknya kami menyifatkan perlawanan itu cukup penting iaitu pertama kami mahu mengelak tergelincir di tangga lebih bawah, kedua ianya perlawanan penyuntik semangat sebelum berdepan JDT (Johor Darul Ta'zim) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 2:04 PM