TOMMY akui perancangannya terganggu. FOTO TFC
TOMMY akui perancangannya terganggu. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Persiapan skuad Terengganu FC (TFC) terjejas berikutan negeri itu dilanda banjir disebabkan hujan berterusan sejak Ahad lalu kerana fenomena Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh.

Susulan itu, padang di Pusat Latihan TFC, Gong Badak yang menjadi gelanggang rasmi skuad Penyu itu menjalani latihan tidak dapat digunakan berikutan digenangi air menyebabkan perancangan yang diatur tergendala.

Ini diakui ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner yang akui perancangannya terganggu disebabkan tidak dapat melakukan persiapan rapi menjelang perlawanan pada minggu ini dan minggu depan.

Skuad Penyu bakal melayani kunjungan Sabah FC dalam aksi Liga Super ke-24 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat ini sebelum berlepas ke Stadium Industree Group Gosford, Australia berdepan kelab negara itu, Central Coast Mariners pada aksi pusingan kedua Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 29 November ini.

"Bermula pada Sabtu dan Ahad baharu ini kami mengadakan latihan di padang seperti biasa walaupun hujan ketika itu, tapi kami tiada masalah untuk menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Sabah FC Jumaat ini.

"Bagaimanapun pada Isnin, kami menghadapi beberapa masalah kerana hujan menyebabkan kami berhenti menjalani latihan kerana air bertakung di padang yang boleh mengundang kecederaan jika latihan diteruskan.

"Jadi kami beralih menjalani latihan di gimnasium selain memberikan cuti kepada pemain sebelum menyambung latihan yang bersesuaian mengikut situasi berikutan musim tengkujuh ini.

"Ini kerana sasaran kita untuk mengutip tiga mata penuh berdepan Sabah FC dalam misi menamatkan saingan Liga Super di kedudukan yang lebih baik selain sebagai persiapan menjelang pertemuan dengan kelab Australia itu minggu depan, saya harapkan pemain cergas sepenuhnya," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.

Berdasarkan kedudukan terkini, finalis Piala Malaysia musim 2023 itu menghuni di tangga keenam liga dengan mengumpul 36 mata hasil 23 perlawanan.

Skuad itu wajib menang berdepan skuad The Rhinos itu, jika seri atau tewas, impian untuk mengintai di tempat kelima liga musnah kerana Sri Pahang FC kini mengutip 44 mata di tempat kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 2:44 PM