GELAGAT  Havertz meraikan jaringan bersama rakan sepasukan Eddie Nketiah. FOTO Reuters
GELAGAT Havertz meraikan jaringan bersama rakan sepasukan Eddie Nketiah. FOTO Reuters
AFP

London: Mikel Arteta tabik kesungguhan Kai Havertz selepas pemain Jerman itu membawa Arsenal ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi jaringan lewat yang memastikan kemenangan 1-0 di Brentford, awal pagi tadi.

Havertz wira Liga Juara-Juara 2021 untuk Chelsea tetapi dia berdepan detik sukar sejak menyertai Arsenal pada penutup musim.

Namun, pemain berusia 24 tahun itu yang berharga £65 juta (RM383 juta) akhirnya membuktikan kemampuan apabila menanduk masuk gol kemenangan minit ke-89.

Jaringan kedua Havertz untuk Arsenal itu yang pertama dalam 10 aksi terakhirnya sekali gus membolehkan Gunners satu mata di depan Manchester City yang terikat 1-1 dengan pasukan di tangga ketiga Liverpool semalam.

"Ia saat indah dalam kehidupan. Apabila anda hadapi cabaran dan perlu mengatasinya, ia menjadikan detik itu lebih baik," kata Arteta.

"Kita boleh lihat reaksi penyokong terhadap Havertz hari ini selepas melihat kesungguhannya. Dia memang berhak lebih daripada sesiapapun untuk mencapai kemenangan."

Skuad Arteta sebelum ini menang di Stadium Komuniti Gtech dalam aksi Piala Liga pada September dan mengulanginya menerusi kemenangan lewat di barat London.

"Saya sukakan kemenangan dan kami kini di puncak liga. Ini kedudukan yang kami mahukan," kata Arteta.

"Apabila anda mempunyai peluang, anda perlu menyambarnya sebaik mungkin. Saya sangat risau prestasi kami. Musim sejuk sudah bermula dan kunjungan ke Brentford memang sukar. Tapi saya suka dengan cara kami bermain."

Gol kemenangan Arsenal diperolehi selepas Havertz yang masuk daripada bangku simpanan menanduk cantik hantaran Bukayo Saka yang melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah, Mark Flekken sekali gus diraikan penuh gembira Arteta di tepi padang.

Kemenangan ketiga berturut-turut Arsenal dalam semua kemenangan mengubati kekecewaan mereka angkara keputusan kontroversi VAR ketika tewas di Newcastle awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 7:28 AM