AUBAMEYANG (kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol Arsenal. FOTO The Sun
AUBAMEYANG (kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol Arsenal. FOTO The Sun
AFP

London: Mikel Arteta berharap kehadiran semula Pierre-Emerick Aubameyang dapat meneruskan kebangkitan Arsenal selepas penyerang Gabon itu yang tampil kali pertama musim ini meledak hatrik ketika membelasah West Bromwich Albion 6-0 dalam saingan pusingan kedua Piala Liga awal pagi tadi.

Aubameyang tidak beraksi ketika tewas mengejut di Brentford pada aksi pembukaan Liga Perdana selepas dijangkiti Covid-19.

Kapten Arsenal itu masuk sebagai pemain gantian ketika tewas 0-2 kepada Chelsea di tempat sendiri Ahad lalu tetapi gagal membantu pasukannya yang berdepan permulaan paling buruk dalam sejarah.

Selepas pengurus Arsenal, Arteta berdepan tekanan, Aubameyang tampil penyelamat ketika menentang kelab Liga Kejuaraan, Albion di The Hawthorns.

Dia meledak gol pertama Arsenal musim ini dengan dua tolakan jarak dekat pada babak pertama sebelum mencipta hatrik dengan rembatan lencung selepas rehat.

Nicolas Pepe, Bukayo Saka dan Alexandre Lacazette turut menemui sasaran sekali gus melegakan Arteta.

Aubameyang kemudian menghadiahkan jersinya kepada penyokong muda Arsenal yang menyaksikan perlawanan.

Ketika ditanya sama ada kehadiran semula penyokong mampu menyumbang peningkatan Aubameyang, Arteta berkata: "Saya harap begitu. Jelas dia sangat gembira dan dia perlukan hubungan itu; dengan keluarga dan penyokong.

"Anda nampak interaksi itu ketika dia meninggalkan padang dan saya fikir ia sangat positif kepadanya.''

Arteta mengakui dia sangat lega dengan kemenangan itu menjelang misi getir menentang juara Liga Perdana, Manchester City, Sabtu ini.

Laporan sebelum menentang West Brom mendakwa Arsenal membayangkan bekas pengendali inter Milan, Antonio Conte menggantikan Arteta jika prestasi terus merosot.

"Apabila anda tewas, anda perlu bangkit segera untuk menang,'' kata Arteta.

"Aksi hari ini memberikan kami keyakinan. Kami mempunyai pemain yang tampil kali pertama musim ini. Auba selepas pulih Covid meledak tiga gol dan ia penting untuk tingkatkan keyakinan dan keseluruhannya saya fikir malam ini sangat positif.''

Dalam perlawanan lain, Southampton membelasah kelab Liga Empat, Newport 8-0 dengan Mohamed Elyounoussi meledak hatrik untuk mencipta sejarah kelab dengan meraih kemenangan terbesar di tempat lawan dalam tempoh 136 tahun.

Burnley pula menewaskan Newcastle 4-3 menerusi penentuan penalti selepas seri 0-0 di St James' Park.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 7:56 AM