ARTETA akui Arsenal kini berada dalam situasi sukar. FOTO AFP
ARTETA akui Arsenal kini berada dalam situasi sukar. FOTO AFP
Agensi

London: Arsenal berada dalam 'situasi sukar dan belum pernah dialami sebelum ini' selepas permulaan Liga Perdana yang buruk, kata pengurus Mikel Arteta.

Selepas tewas 0-2 kepada Brentford dan kini Chelsea pula, Arsenal sudah mengalami dua kekalahan berturut-turut pada dua perlawanan awal tanpa dapat menjaringkan gol buat kali pertama dalam sejarah.

Skuad bimbingan Arteta berdepan dengan isu Covid-19 dan kecederaan pada dua perlawanan pertama itu.

"Saya tidak pernah rasa dalam sejarah kelab ini berdepan situasi seperti sekarang," kata Arteta.

"Kami perlu berdepan cabaran ini. Liga atau kedudukan tidak ditentukan pada Ogos. Paling teruk yang boleh anda lakukan adalah menyerah kalah tetapi kami pasti tidak akan melakukannya.

Arteta menambah: "Anda perlu faham situasi yang kami alami. Kami kehilangan sembilan pemain dan ia agak sukar. Bukan hanya sembilan pemain sahaja, tetapi antara mereka nama-nama besar."

Arsenal beraksi tanpa dua penyerang utama, Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette selain Willian dan penjaga gol simpanan, Alex Runarsson kerana positif Covid-19 ketika bertemu Brentford.

Thomas Partey, Gabriel dan Eddie Nketiah kesemuanya mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 9:55 AM