SAKA (kiri) cuba melepasi pertahanan Palace, Tyrick Mitchell. FOTO AFP
SAKA (kiri) cuba melepasi pertahanan Palace, Tyrick Mitchell. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta memuji keupayaan Arsenal untuk mengatasi serangan Crystal Palace pada separuh masa kedua bagi membuat permulaan yang sempurna Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-0 di Selhurst Park.

Anak buah Arteta bertahan dengan baik selepas tandukan Gabriel Martinelli memberi mereka gol pendahuluan pada separuh masa pertama.

Gol sendiri Marc Guehi di hujung permainan mengesahkan tiga mata buat mereka selepas Odsonne Edouard dan Eberechi Eze terlepas peluang terbaik untuk Palace.

"Kemenangan adalah perkara yang paling penting. Memenangi perlawanan pertama membolehkan kami membina keyakinan, momentum dan kemudian membincangkan perkara yang perlu kami perbaiki.

"Untuk menang di sini anda perlu menderita. Kami melakukannya dan itu adalah sebahagian daripada mentaliti yang ingin kami bina," kata Arteta.

Arsenal tumpas 0-2 di Brentford pada malam pembukaan musim tahun lalu, yang mencetuskan permulaan terburuk mereka dalam kempen liga selepas 67 tahun.

Tetapi kali ini mereka dibantu dengan prestasi pramusim yang cemerlang dan Arteta diberi ganjaran sebanyak lebih £100 juta (RM537 juta) untuk dibelanjakan dalam pasaran perpindahan.

Ketibaan Gabriel Jesus untuk mengisi bahagian penyerang menjadikan perpindahan paling penting musim ini dan pemain antarabangsa Brazil itu hampir menjaringkan gol pada penampilan sulung di minit keempat.

Jesus merembat melalui bahagian tengah pertahanan Palace dan apabila percubaan awalnya disekat, Martinelli sepatutnya melakukan percubaan lebih baik namun ia tersasar.

Pasukan pelawat benar-benar mendominasi perlawanan pada suku pertama, tetapi ia memerlukan gerakan bola mati untuk memperoleh gol.

Seorang lagi pemain yang beraksi buat kali pertama Oleksandr Zinchenko menanduk bola hasil sepakan sudut melintasi pintu gol dan tandukan Martinelli sudah cukup untuk menumpaskan Vicente Guaita.

Hantaran lintang yang cuba dilakukan Bukayo Saka pula ditanduk oleh pertahanan tengah Palace, Guehi ke gawang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 9:14 AM