PASUKAN perubatan menyelamatkan mangsa yang cedera dalam pergaduhan penyokong PSG dan Milan. FOTO AFP
PASUKAN perubatan menyelamatkan mangsa yang cedera dalam pergaduhan penyokong PSG dan Milan. FOTO AFP
Reuters

Milan: Seorang penyokong Paris St Germain (PSG) parah selepas ditikam dalam pergaduhan antara penyokong bola sepak di Milan sebelum perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara AC Milan dan PSG, kata polis Itali, malam tadi.

Polis berkata, mangsa ditikam dua kali di kaki dan dibawa ke Hospital Policlinico di Milan.

Media Itali melaporkan, mangsa adalah lelaki Perancis berusia 34 tahun dan cedera apabila sekumpulan 50 penyokong Milan bertempur dengan penyokong PSG selepas tengah malam, di bandar yang terkenal dengan suasana meriah pada waktu malam itu.

Dua pegawai polis turut cedera dalam pergaduhan berkenaan.

AC Milan yang melayan PSG di Stadium San Siro menyelar keganasan berkenaan dan menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Bagi kami, bola sepak adalah keinginan, bukannya kebencian. Sukan sepatutnya menyatukan, bukannya memisahkan," kata kelab itu menerusi muat naik di media sosial X, yang ditulis dalam bahasa Inggeris, Itali dan Perancis.

September lalu, seorang penyokong kelab Inggeris iaitu Newcastle United ditikam di Milan sebelum perlawanan UCL menentang AC Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 9:17 PM