HAKIMI (tengah) meraikan jaringannya bersama Mbappe (kanan) dan Vitinha. FOTO AFP
HAKIMI (tengah) meraikan jaringannya bersama Mbappe (kanan) dan Vitinha. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan kemenangan apabila sepakan penalti Kylian Mbappe menyaksikan mereka menewaskan Borussia Dortmund 2-0 di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Juara Perancis itu menguasai separuh masa pertama tetapi hanya mendahului empat minit selepas babak kedua apabila Mbappe menyempurnakan sepakan penalti.

Achraf Hakimi mengukuhkan kedudukan PSG apabila meledak gol kedua minit ke-58, malah kelab gergasi Perancis itu sepatutnya mampu melakar kemenangan lebih besar pada aksi Kumpulan F.

Keputusan itu meletakkan mereka mendahului kumpulan, selepas AC Milan dan Newcastle United seri 0-0 pada aksi lebih awal, dan jurulatih Luis Enrique berharap mereka dapat mengekalkan prestasi itu apabila berkunjung ke Newcastle dalam masa dua minggu lagi.

"Ia adalah perlawanan yang hampir sempurna. Saya gembira dengan segala-galanya terutama intensiti kami sejak dari awal serta cara kami menguasai permainan sepanjang 75 minit pertama.

"Kami sepatutnya mampu menjaringkan sekurang-kurangnya satu lagi gol tetapi kemenangan ini memberikan keyakinan kepada kami untuk mara ke hadapan. Ia adalah kumpulan yang sukar untuk semua pasukan," kata Luis Enrique.

Sementara itu Dortmund tidak berada pada tahap terbaik mereka dan perlu bangkit apabila melayan kunjungan Milan.

Mereka masih menyesuaikan diri tanpa khidmat Jude Bellingham dan jurulatih, Edin Terzic turut menurunkan Sebastien Haller ketika penyerang itu mengharungi permulaan kempen yang sukar.

PSG pula berada pada minggu-minggu awal era baharu tanpa Lionel Messi, Neymar dan Marco Verratti serta ketibaan Luis Enrique.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 7:50 AM