LEAO (tengah) ketika menjaringkan gol pertama Milan. FOTO REUTERS
LEAO (tengah) ketika menjaringkan gol pertama Milan. FOTO REUTERS
AFP

Milan: Stefano Pioli berkata Rafael Leao mampu menggegar dunia selepas pemain sayap Portugal yang tidak konsisten itu lebih menyerlah berbanding Kylian Mbappe ketika AC Milan meraih kemenangan 2-1 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Leao menyamakan kedudukan untuk Milan menerusi sepakan akrobatik dan sering menyukarkan barisan pertahanan PSG setiap kali menguasai bola ketika bintang Perancis, Mbappe bergelut dengan prestasi di San Siro.

Prestasi cemerlangnya itu amat berbeza berbanding sebelum ini sekali gus membantu menghidupkan semula harapan Milan untuk melepasi peringkat Kumpulan F.

Dia meletakkan jari di mulut sebagai isyarat terhadap kritikan ke atasnya selepas prestasi hambar dirinya dan pasukan dalam kempen Serie A yang menyaksikan Milan ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Inter Milan.

"Rafa perlu melihat sekali lagi pada persembahannya malam ini kerana prestasinya bergantung kepadanya," kata Pioli kepada pemberita.

"Dia membuktikan pada malam ini bahawa dia mempunyai kualiti yang bagus.

"Jika kami terus bermain dengan intensiti yang sama, kami mampu melakar lebih banyak kejayaan," kata Pioli lagi.

Sebelum perlawanan, Milan berada di tangga tercorot Kumpulan F tanpa sebarang gol, tetapi kini mereka mempunyai harapan untuk bersaing ke peringkat kalah mati apabila hanya ketinggalan satu mata di belakang PSG yang menghuni tangga kedua.

"Kami mendapat sokongan tanpa berbelah bahagi daripada penyokong walaupun berdepan situasi sukar di saingan liga," kata Olivier Giroud, yang menanduk masuk gol kemenangan Milan pada awal separuh masa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 8:56 AM