MAIGNAN sudah tiba di Milan. FOTO Agensi
MAIGNAN sudah tiba di Milan. FOTO Agensi
AFP

Rom: Penjaga gol Lille, Mike Maignan menjalani ujian perubatan di AC Milan tatkala dia sudah bersedia untuk menandatangani kontrak bersama kelab Serie A itu.

Selepas menjalani ujian perubatan, Maignan yang membantu Lille muncul juara liga Perancis, dipaparkan oleh televisyen Itali memasuki ibu pejabat kelab AC Milan.

Pengumuman rasmi perpindahan itu dijangka bakal dilakukan dalam tempoh 48 jam.

Media Itali melaporkan Milan akan membayar Lille sebanyak €15 juta (RM74 juta) bagi mendapatkan penjaga gol ketiga pasukan Perancis dan dia akan menandatangani kontrak selama tiga hingga lima tahun.

Pemain antarabangsa Itali, Gialuigi Donnarumma, yang beraksi dalam kesebelasan utama musim ini bakal tamat kontrak hujung musim ini.

Milan, yang akan kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim depan selepas tujuh musim gagal, nampaknya mempercepat untuk mendapatkan Maignan selepas berbulan-bulan berunding dengan ejen Donnarumma, Mino Raiola dan gagal mencapai kesimpulan.

Perbincangan dengan Raiola tertangguh beberapa minggu lalu.

Maignan, 25, yang lahir di Cayenne di French Guyana, pernah beraksi sekali dengan Perancis dan dipilih menyertai skuad Euro.

Dia lahir dari program remaja di Paris Saint Germain (PSG) namun tidak pernah beraksi dalam pasukan utama.

Dia menyertai Lille pada 2015 dan menamatkan saingan musim ini dengan tidak melepaskan sebarang gol sebanyak 21 kali tatkala kelabnya berjaya mengetepikan PSG untuk muncul juara Ligue 1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 10:51 AM