SIMONE (baju putih) mengendalikan sesi latihan Inter. FOTO REUTERS
SIMONE (baju putih) mengendalikan sesi latihan Inter. FOTO REUTERS
AFP

Milan: Mengemudi Inter Milan ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi Ahad ini adalah pencapaian terbaru dalam karier pengurusan Simone Inzaghi, yang menyerlahkan kemampuannya mengatasi ramalan.

Simone, 47, menghabiskan karier sebagai pemain dengan dibayangi abangnya, Filippo, yang muncul penjaring gol prolifik dalam liga Itali dan turut memenangi Piala Eropah sebanyak dua kali selain menjulang Piala Dunia sekali.

Simone yang juga penyerang banyak menghabiskan karier di Lazio yang menyaksikan dia menjadi pujaan penyokong walaupun rekod jaringan sederhana dan menang gelaran tunggal liga, 23 tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam bidang pengurusan, Simone kini membimbing antara kelab utama di Eropah manakala Filippo mengemudi kelab di liga bawahan.

Ahad ini, dia berpeluang memenangi penghormatan tertinggi buat kelab sama seperti dimenangi abangnya sebagai pemain pada 2003 dan 2007 bersama seteru setempat Inter iaitu AC Milan.

"Ia adalah perlawanan paling penting buat saya, tetapi saya percaya, ia membawa maksud sama bagi pemain kerana pemain seperti (Edin) Dezko dan Andre) Onana pernah bermain di separuh akhir," kata Simone kepada media.

"Ia membalas segala usaha kami pada tahun dan musim yang sukar."

Simone mengemudi Lazio pada 2016 selepas bermula dengan skuad remaja dan terus menampilkan kebolehan apabila membawa kelab Roma itu kembali ke Eropah dan tewas aksi final Piala Itali kepada Juventus.

Lazio kerap dibayangi kelab setempat, Roma dan dibebani masalah bajet sehingga ketinggalan di belakang tiga kuasa besar Itali iaitu Juve, Inter dan Milan.

Piala Itali 2019, dua Piala Super - yang kedua-duanya dimenangi hasil kemenangan ke atas Juve - serta kelayakan ke UCL pada 2020 mungkin tidak cukup, tetapi ia memadai untuk menarik minat Inter susulan pemergian Antonio Conte selepas merangkul gelaran Serie A.

Simone hadir di Inter, dua tahun lalu pada kelab itu berdepan krisis susulan pemergian Conte dan penjualan dua bintang yang membantu mereka muncul juara liga iaitu Romelu Lukaku dan Achraf Hakimi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 1:20 PM