AFP

Paris: Zlatan Ibrahimovic (gambar) mengesahkan semalam akan meninggalkan Paris Saint-Germain pada akhir musim ini tetapi skuad juara Perancis itu berkata bintang Sweden itu akan kembali dalam bidang ‘pengurusan’.

“Perlawanan terakhir saya esok (hari ini) di Parc des Princes. Saya datang seperti raja, pergi seperti legenda,” kata Ibrahimovic menerusi Twitter, mengakhiri spekulasi akan melanjutkan kontrak dengan PSG selepas musim ini.

Ibrahimovic yang tamat kontraknya pada 30 Jun ini akan membuat penampilan terakhir di laman sendiri buat kelab itu pada perlawanan terakhir Ligue 1 musim ini menentang Nantes malam ini.

Bagaimanapun dia akan menyarung jersi PSG sekali lagi apabila berdepan Marseille pada final Piala Perancis, di Stade de France, 21 Mei ini.

“Selepas perbincangan di antara Paris Saint-Germain dan ejen Zlatan Ibrahimovic, kelab dan pemain mencapai keputusan sepakat untuk tidak memperbaharui kontraknya,” kaya PSG.

“Mereka turut bersetuju sebaik kariernya sebagai pemain berakhir, Ibra akan menyertai pengurusan kelab itu untuk satu jawatan penting.”

Sementara itu, Ibrahimovic akan membuat penampilan terakhir di Perancis sebagai pemain apabila mewakili Sweden di Euro 2016, Jun ini.

Malah wujud spekulasi mengenai masa depan pemain berusia 34 yang pernah menyertai Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona dan AC Milan.

Dia dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris manakala ejennya membayangkan dia mungkin kembali ke AC Milan dan Major League Soccer sebagai satu lagi destinasi berpotensi.

Satu laporan awal semalam menyatakan pemain itu ‘90 peratus’ akan meneruskan kariernya dengan LA Galaxy.

Ibrahimovic, yang menerima anugerah pemain tahunan Perancis minggu lalu, iaitu yang ketiga buatnya, menikmati kejayaan cemerlang bersama PSG sejak menyertai kelab itu dari Milan pada 2012, menjuarai Ligue 1 empat tahun berturut-turut.

Jika PSG menjuarai Piala Perancis minggu depan, mereka akan melengkapkan kejuaraan domestik untuk tahun kedua berturut-turut dan Ibrahimovic akan menjulang trofi ke-12 bersama kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:06 AM