Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma. FOTO AFP
Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain berkata mereka sudah melengkapkan kontrak untuk penjaga gol Itali di Euro 2020, Gianluigi Donnarumma menerusi perjanjian lima tahun.

Pemain berusia 22 tahun yang menyelamatkan dua penalti di final Euro dan dinamakan pemain terbaik kejohanan, ke Perancis dengan perpindahan percuma dari AC Milan.

Donnarumma akan bersaingan dengan seorang lagi penjaga gol berpengalaman di kelab itu, Keylor Navas bagi mengisi gawang utama.

"Saya sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripada kelab besar ini," kata Donnarumma dalam kenyataan yang dikeluarkan PSG.

"Saya rasa sudah bersedia untuk mengambil cabaran baharu ini dan terus meningkat di sini.

"Bersama Paris, saya mahu menang sebanyak yang boleh dan untuk memberi kegembiraan kepada penyokong."

Ketika enam musim di Rossoneri, penjaga gol kelahiran Naples itu melakukan 215 penampilan di Serie A disamping 16 perlawanan Liga Europa dan 12 perlawanan Piala Itali (termasuk aksi final 2016 dan 2018).

Dia adalah pemain ketiga yang ditandatangani oleh PSG dengan perpindahan percuma pada musim panas ini selepas penyertaan pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos dan pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum yang tamat kontrak bersama Real Madrid dan Liverpool baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 7:54 AM