AKSI pemain Kuala Lumpur City FC, Patrick Alcala Reichelt (kiri) mengawal bola daripada pemain Kedah Darul Aman FC, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, semalam. FOTO BERNAMA
AKSI pemain Kuala Lumpur City FC, Patrick Alcala Reichelt (kiri) mengawal bola daripada pemain Kedah Darul Aman FC, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, semalam. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Nenad Bacina akui menjadikan aksi menentang Kedah Darul Aman FC medan menguji pemain untuk persediaan di separuh akhir Piala Malaysia hujung bulan ini.

Jelas Bacina, beliau terpaksa memulakan Paulo Josue sebagai pemain gantian kerana tonggak naturalisasi negara itu tidak akan beraksi di separuh akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC nanti.

Lantas, beliau menurunkan beberapa pemain yang baru pulih daripada kecederaan untuk meraih minit permainan.

"Satu perlawanan yang sukar seperti yang kita jangkakan kerana Kedah mempunyai 11 mata lebih dari kami tetapi kami lebih baik pada peringkat awal namun kemudian kami seakan diam dalam perlawanan ini dan akhirnya kami dihukum dengan penalti.

"Kemasukan Paulo Josue semestinya merubah keadaan permainan dan berikan kami keyakinan untuk memegang bola.

"Kami gunakan perlawanan ini sebagai persiapan menghadapi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC kerana kami akan mempunyai rehat yang cukup panjang," katanya.

Bacina yang menggantikan Bojan Hodak menegaskan pasukannya tetap memandang serius saingan Liga Super.

"Kami menganggap semua perlawanan penting dan mahu mendapatkan tiga mata. Saya bertanya dan menekankan kepada pemain kenapa kita tidak mahu tamatkan liga di tempat yang lebih baik dan atas sebab itu, kami mahu mengutip seberapa banyak mata dalam baki perlawanan," jelasnya.

Nenad juga menyatakan bahawa pemainnya tidak cukup agresif pada perlawanan semalam namun mereka tetap menunjukkan karakter yang baik tetapi penyudah yang tumpul dan sedikit kesilapan menyebabkan mengalami kekalahan 0-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 4:52 PM