SKUAD Harimau Muda perlu perbaiki kelemahan jika tak mahu menjadi ‘lauk’ di Qatar. FOTO FAM
SKUAD Harimau Muda perlu perbaiki kelemahan jika tak mahu menjadi ‘lauk’ di Qatar. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Corak permainan skuad bawah 23 tahun (B-23) nampak serupa seperti Harimau Malaya namun hakikatnya langsung tidak sama sekali gus menimbulkan persoalan keupayaan barisan kejurulatihan pasukan itu dalam mengharungi Piala Asia B-23 April tahun depan.

Berdasarkan pemerhatian jurulatih bola sepak berpengalaman Mohd Azraai Khor Abdullah, terdapat banyak perbezaan membabitkan kedua-dua pasukan terbabit walaupun pada peringkat awal dikatakan skuad B-23 bakal mengikuti corak permainan seperti 'abang' mereka.

Beliau berkata, pengendali skuad B-23 negara E Elavarasan sepatutnya lebih memahami corak dan identiti bola sepak yang dibawa pasukan senior memandangkan beliau pembantu kepada jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon.

Katanya, terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki segera barisan kejurulatihan skuad B-23 negara terutama membabitkan penguasaan bola, corak bertahan dan sistem serangan dalam usaha merobek kubu lawan kelak.

"Sepatutnya corak permainan B-23 sudah pastinya dibayangi Pan Gon kerana Elavarasan adalah pembantu jurulatih dari Korea Selatan itu sekali gus beliau memahami segala aspek membabitkan taktikal pasukan senior.

"Jika jurulatih lain saya fahamlah kerana sukar untuk terapkan taktikal Pan Gon namun sekarang ini Elavarasan pula dilihat gagal menerapkan corak berkenaan seterusnya skuad B-23 mempamerkan aksi hambar.

"Pasukan kita ini tiada pressing (beri tekanan) cepat pada lawan dan lihat sikap pemain di atas padang yang kurang peka juga menjadi punca gawang mudah dibolosi," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, pelantikan Elavarasan sebagai pengendali skuad B-23 negara bermula September tahun lalu bertujuan memastikan pasukan muda negara itu dapat mengikut corak permainan Harimau Malaya.

Namun, berdasarkan corak permainan dipamerkan skuad B-23 bermula pada Sukan Sea Kemboja sebelum berhadapan kejohanan Piala AFF B-23 dan baru-baru ini di kelayakan Piala Asia B-23 2024 mendapati prestasi barisan pemain muda itu kurang memuaskan serta tidak sama seperti ditonjolkan pasukan senior.

Malah, jika situasi terbabit tidak diperbaiki segera kemungkinan pasukan muda negara akan menjadi mangsa belasahan apabila beraksi di pentas Piala Asia tahun depan.

Sementara itu, Azraai berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diketuai Pengarah Teknikalnya Scott O'Donell segera melakukan bedah siasat bagi mengenalpasti kekurangan pasukan untuk ditambahbaik.

"Jangan fikir sudah layak ke Piala Asia segala-galanya selesai kerana banyak kerja perlu dilakukan supaya pasukan muda negara boleh bawa sesuatu apabila mengharungi kejohanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 9:59 PM