AKSI sengit skuad B-23 negara ketika menentang China. FOTO FAM
AKSI sengit skuad B-23 negara ketika menentang China. FOTO FAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara semakin menunjukkan perubahan positif dari segi corak permainan selepas melalui dua perlawanan persahabatan menentang pasukan China B-23.

Pengurus skuad B-23 negara Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, perlawanan kompetitif itu amat penting bagi jurulatih, Juan Torres Garrido untuk melihat dan menilai keupayaan pemain yang dipanggil sebelum melangkah ke Piala Asia B-23 di Qatar April depan.

"Saya lihat ini adalah perlawanan antarabangsa tier 2. Kita tahu China dari segi ranking memang atas dari Malaysia dan saya tengok dua perlawanan ini memberi manfaat dan pengajaran serta semangat kepada pemain dan pihak pengurusan.

"Perlawanan pertama kita menang tapi itu perkara nombor dua, perlawanan persahabatan ini kita nak tengok kawasan mana boleh dibaiki dan di mana kelemahan kita.

"Saya lihat corak permainan pun sudah berbeza dan mereka semakin baik dan nampak pemain semakin serasi dengan cara yang dibawa oleh jurulatih Juan Torres," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau turut mengingatkan setiap pemain untuk terus meningkatkan prestasi kerana kedudukan mereka di dalam pasukan masih belum terjamin.

Selain itu, pemain seperti Nooa Laine dan Richard Chin turut berada dalam perancangan untuk dipanggil bagi menambah kekuatan pasukan negara.

"Harus diingat latihan pusat seterusnya kita akan memanggil beberapa pemain lagi. Ini bermaksud persaingan dalam pasukan untuk merebut tempat masih berlaku. Pemain tempatan Ubaidullah (Shamsul Fazili) dan Azam Azmi tidak dapat bersama kali ini kerana kecederaan dan pemain yang bermain di luar negara juga tidak dapat sertai seperti Nooa dan Richard.

"Pemain luar negara yang kita nak panggil macam Nooa dan Richard tapi itu kena tengok budi bicara kelab juga sama ada mereka hendak lepas atau tidak kerana kejohanan Piala Asia B-23 di Doha, Qatar nanti bukan berada dalam kalender Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Di Malaysia pun sama, perlu ada budi bicara kelab yang bertanding. Tapi harapan saya insya-Allah kita tidak mempunyai masalah besar dan saya faham kelab yang ada dalam Liga Malaysia, mereka faham ini tugasan demi negara," katanya.

Dalam dua aksi persahabatan di China itu, skuad B-23 menang 1-0 sebelum tewas 1-2, semalam. Di Qatar, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 6:06 PM