SKUAD B-23 negara tewas semua tiga perlawanan Kumpulan D di Piala Asia B-23 di Qatar, baru-baru ini. FOTO FB FAM
SKUAD B-23 negara tewas semua tiga perlawanan Kumpulan D di Piala Asia B-23 di Qatar, baru-baru ini. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pencapaian dan matlamat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara tidaklah 'ke laut dalam' seperti dinyatakan sesetengah pihak hingga menggambarkan prestasi pasukan muda negara itu cukup buruk sepanjang kempen Piala Asia B-23 di Qatar, baru-baru ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan pasukan muda negara itu sudah menempatkan diri dalam kelompok 19 pasukan terbaik, sekali gus memenuhi sasaran diletakkan dalam F-30.

Beliau berkata, pengurusan tertinggi FAM sudah berhubung dengan jurulatih skuad B-23 negara, Juan Torres Garrido dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell untuk mendapatkan laporan terperinci berkaitan keseluruhan prestasi pasukan muda negara itu.

"Saya sudah berhubung dengan mereka dan akan menunggu laporan daripada pengarah teknikal yang berada di Qatar tempoh hari dan berjumpa dengan Garrido.

"Saya akan pusing balik kepada pasukan B-23. Kita tengok sebelum B-23, kita kena tengok apa yang ada dalam F-30.

"Ikut F-30 kita, pastikan pasukan B-19, B-17 dan B-20 di bawah B-23 menempatkan diri dalam kalangan 16 pasukan terbaik. Kita sebelum ini pun jarang berada dalam 16 terbaik. Kita tak layak mengharungi pusingan 16 (pasukan terbaik).

"Lepas itu bila kita masuk pusingan 16, betullah kita pun nak masuk (layak ke Sukan Olimpik). Tapi kita kena realistik di mana kita berada sekarang," katanya.

Keputusan tidak menyebelahi skuad B-23 negara dengan tewas 'hatrik' dalam semua perlawanan Kumpulan D Piala Asia B-23 di Qatar, sekali gus mengundang persoalan mengenai nasib Harimau Malaya pada masa akan datang.

Situasi terbabit menggambarkan seperti ada yang tidak kena kepada sistem pembangunan dan pendekatan yang dilakukan membabitkan pasukan muda hingga gagal memperoleh keputusan positif dalam saingan kompetitif seperti Piala Asia.

Selain itu, Hamidin meminta peminat bola sepak agar percaya dengan perancangan direncanakan badan induk bola sepak negara itu demi kemajuan skuad negara.

FAM kini beralih arah dengan fokus untuk membantu skuad negara bersedia untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027/Piala Dunia 2026 pada Jun ini.

Ini termasuk mengatur satu aksi pemanas badan sebelum Malaysia bertemu dengan Kyrgyzstan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 4:07 PM