SOUTHGATE (tengah) memantau sesi latihan England di St George's Park di Burton-Upon-Trent, semalam. FOTO AFP
SOUTHGATE (tengah) memantau sesi latihan England di St George's Park di Burton-Upon-Trent, semalam. FOTO AFP
Agensi

London: Gareth Southgate menyemarakkan semangat pemain England dengan berkata: "Kita akan menjuarai Euro kali ini."

Southgate membuat ucapan bersemangat ketika skuadnya berkumpul untuk sesi latihan menjelang pertembungan dengan Ukraine dalam aksi kelayakan Euro 2024 di Poland Sabtu ini.

Pengurus Three Lions Southgate mahu pemainnya memiliki mentaliti kemenangan yang ampuh selepas kecewa dalam beberapa kejohanan utama sebelum ini.

England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018, final Euro 2021 dan disingkirkan Perancis pada Piala Dunia tahun lalu di Qatar.

Kontrak Southgate tamat selepas Euro tahun depan dan kejohanan kali ini kemungkinan peluang terakhirnya menjuarai trofi utama bersama England.

Kapten Brighton Lewis Dunk mendedahkan ucapan bersemangat Southgate sebelum sesi latihan di St George's Park semalam.

Menurut Dunk : "Dia menyuarakan harapan untuk menjuarai Euro dan semua pemain mula memasang impian, jadi boleh saya katakan ia perubahan besar dari segi mentaliti.

"Ia bukan sejauh mana kami boleh pergi di kejohanan itu. Ia adalah menjuarainya. Kami akan memenangi kejohanan ini dan kami mahu menjuarainya. Itu yang akan kami lakukan.

"Sudah tentu ia memberikan anda keyakinan dan dengan dikelilingi pemain bersemangat tinggi Gareth penuh yakin England boleh menjuarai Euro.

"Anda boleh lihat kemajuan kami dalam beberapa kejohanan lalu. Saya melihatnya dari rumah dan ia menakjubkan," kata Dunk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 10:36 AM