SALAH ledak gol ketika Liverpool menewaskan Aston Villa 3-0. -FOTO Reuters
SALAH ledak gol ketika Liverpool menewaskan Aston Villa 3-0. -FOTO Reuters
Agensi

London: Spekulasi mengenai masa depan Mohamed Salah di Liverpool semakin kuat diperkatakan minggu ini tetapi tiada siapa yang lebih tenang daripada Jurgen Klopp apabila bercakap mengenai masa depan bintang penyerangnya itu.

Pasukan Klopp menolak bidaan £150 juta (RM 877.78 juta) untuk pemain antarabangsa Mesir itu daripada kelab Liga Pro Saudi, Al-Ittihad minggu lalu, dengan The Reds menegaskan pemain berusia 31 tahun itu tidak dijual.

Dengan jendela perpindahan di Arab Saudi akan ditutup Khamis ini, Liverpool dijangka akan menerima lebih banyak tawaran dalam beberapa hari akan datang.

Tetapi selepas Salah menjaringkan satu gol dan memainkan peranan utama ketika The Reds menewaskan Aston Villa 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Klopp menegaskan Salah hanya fokus untuk melakukan yang terbaik untuk kelab.

"Saya tidak pernah meragui komitmennya terhadap kelab ini," kata pengendali dari Jerman itu.

"Anda tidak boleh bayangkan betapa banyak kekecohan yang timbul di dunia ini dan kami tenang menghadapi situasi itu. Dia adalah pemain kami dan mahu bermain di sini."

Kepercayaan terhadap keinginan Salah untuk kekal di Liverpool nampaknya dirasai di bilik persalinan.

Pemain yang baru ditandatangani Dominik Szoboszlai yang menjaringkan gol pertamanya untuk kelab selepas hanya tiga minit diturunkan menentang Villa, berkata: "Anda tahu ia adalah bola sepak, semua orang bercakap. Kami sangat gembira kerana dia kekal di sini.

"Kami bercakap antara satu sama lain tetapi dia memilih untuk kekal, dia mahu berada di sini dan bersama kami.

"Kami sangat gembira - kami memerlukan seperti dia dalam pasukan."

Sesuatu yang boleh diagak mengapa Szoboszlai dan rakan sepasukannya menekankan kepentingan Salah kepada pasukan.

Dengan golnya ketika menentang Villa, dia kini sudah menjaringkan gol atau membantu dalam 10 penampilan berturut-turut dalam Liga Perdana - percubaan paling lama sejak penyerang itu diturunkan dalam 15 perlawanan berturut-turut antara Ogos-Disember 2021.

Salah kini sudah meledak dua gol dalam empat perlawanan setakat musim ini, tidak menjaringkan kurang daripada 19 gol dalam satu musim sejak berpindah ke Anfield pada 2017.

Dia juga merekodkan 188 gol untuk kelab itu, meletakkannya di tangga kelima dalam senarai penjaring sepanjang masa Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 8:39 AM