KLOPP (kanan) yakin Can (tengah) kekal bersama Reds.
KLOPP (kanan) yakin Can (tengah) kekal bersama Reds.

Liverpool: Jurgen Klopp yakin beliau mampu memujuk pemain tengah antarabangsa Jerman Emre Can untuk melanjutkan kontraknya bersama Liverpool.

Can menjaringkan gol hebat ketika pasukannya menang 1-0 ke atas Watford sekali gus mencerahkan peluang Liverpool untuk menamatkan musim ini di kelompok empat teratas.

Begitupun, ketika kontrak sedia ada Can hanya berbaki setahun, khidmat pemain berusia 23 tahun itu pantas diidamkan beberapa kelab Eropah.

Bagaimanapun, Klopp yang sedang menyiapkan pasukannya untuk perlawanan menentang Southampton, yakin Can akan menolak tawaran lain sebaliknya tetap setia di Anfield.

“Selepas dia menjaringkan gol menerusi sepakan gunting, mungkin semua pihak mahukan dia kekal di sini,” kata Klopp.

“Saya rasa, tidak perlu untuk saya terangkan betapa saya sukakan Emre.

“Dia juga sukakan kelab ini. Justeru, ia melengkapkan situasi. Kami sedang berbincang dan tidak ada tekanan. Semuanya berjalan baik.

“Kami saling menghormati antara satu sama lain.

“Jika kami mahu menyimpan pemain baik untuk pembangunan akan datang, saya rasa dia adalah salah seorang daripadanya. Saya cukup positif.

Persembahan meyakinkan Can sejak akhir-akhir ini berlaku disebabkan kecederaan betis yang dialaminya selama ini sudah dapat diatasi.

Klopp percaya jaringan yang dilakukannya di Watford adalah hasil kerja keras pemain itu sepanjang latihan.

“Pemain itu menjaringkan gol hebat dan kami bercakap mengenainya sejak perlawanan itu tamat.

“Jaringan itu sangat penting dan kami berhak mendapatkannya. Dia seorang pemain yang rajin dan semangatnya tidak pernah berubah. Sikapnya juga bagus dan itulah yang membuatkan saya senang.

“Perancangan kami selepas ini ialah untuk menghasilkan gol secara lebih mudah

“Jika dalam keadaan sukar sekalipun, dia mampu menjaringkan gol, apatah lagi jika mendapat peluang lebih mudah. Ketika menentang Crystal Palace, dia turut berpeluang menjaringkan gol.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 8:55 AM