KIM Pan-gon. FOTO BERNAMA
KIM Pan-gon. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya tidak menutup pintu buat mana-mana pemain import yang bakal dinaturalisasikan oleh kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) dalam masa terdekat ini.

Jelas pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon, beliau terbuka jika ada pemain naturalisasi yang boleh membantu skuad Harimau Malaya.

Katanya, jika tonggak berkenaan mampu menyumbang dari aspek teknikal serta memiliki corak permainan fizikal yang baik, pemain berkenaan boleh diberi peluang.

Namun sebelum memanggil ke latihan pusat, tonggak berkenaan perlu mendapatkan pasport negara ini dan ia diuruskan kelab masing-masing.

"Kita tidak tahu lagi bila calon (pemain baharu naturalisasi) berkenaan boleh mendapatkan pasport.

"Sudah tentu ia (kehadiran tambahan naturalisasi) baik untuk kita dari segi faktor kekuatan fizikal dan kekuatan menyerang.

"Jadi kita tunggu dan lihat bila boleh dapat pasport," katanya yang kini dalam persiapan menjelang dua tugasan penting iaitu Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini serta kempen Piala Asia di Qatar Januari depan.

Untuk rekod, ketika ini skuad Harimau Malaya boleh memanggil tujuh pemain naturalisasi untuk memperkuatkan pasukan.

Antara tonggak yang sudah dinaturalisasikan adalah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Paulo Josue dan Endrick dos Santos.

Begitupun, daripada tujuh pemain itu hanya Tuck, Josue dan Endrick dipanggil oleh Pan-gon pada latihan pusat dan dua aksi persahabatan antarabangsa pada bulan lalu di Kuala Terengganu.

Manakala, selebihnya dilihat disisihkan ekoran kekurangan minit permainan atau tidak mencapai tahap diinginkan ketika bersama pasukan masing-masing dalam saingan liga tempatan.

Ketika ini, penyerang import kelahiran Colombia yang beraksi untuk Kuala Lumpur City FC (KL City), Romel Moreles dilaporkan semakin hampir didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Ia selepas pengurusan KL City memohon taraf kewarganegaraan buat Morales dan pemain itu masih menanti status permohonan bagi membolehkan dirinya menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 1:52 PM