JOSUE (kiri) ketika menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, bulan lalu. FOTO FB PAULO JOSUE
JOSUE (kiri) ketika menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, bulan lalu. FOTO FB PAULO JOSUE
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue yakin sasaran untuk berada di kelompok 120 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini mampu direalisasikan.

Kata Josue, dia tidak meragui kemampuan skuad negara dan percaya misi memanjat anak tangga dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) boleh dilakukan.

"Ya, saya yakin pasukan boleh capai sasaran itu, malah bagus sebenarnya bila kita ada sasaran seperti itu.

"Kita akan berusaha dan bekerja keras ke arah itu untuk mencari kemenangan dalam perlawanan antarabangsa selepas ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu skuad kendalian Kim Pan-gon terus memperbaiki kedudukan Harimau Malaya selepas berjaya menduduki posisi ke-138 ketika ini, naik tujuh anak tangga daripada 145 sebelum ini.

Kedudukan itu dianggap terbaik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan kedudukan terburuk pada 2018 di tangga ke-178.

Ujar Josue, bagi memastikan misi terbabit tercapai, pasukan perlu segera memahami keinginan dan kehendak Pan-gon terutama corak permainan diterapkan jurulatih Korea Selatan itu.

"Berbekalkan tunjuk ajar barisan jurulatih, saya lihat kita boleh capai sasaran 120 itu. Setiap pemain perlu memahami apa kehendak jurulatih.

"Kita boleh berada di kedudukan itu hujung tahun ini, dengan mengambil pendekatan satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya yang muncul pemain naturalisasi ketujuh negara selepas Mohamadou Sumerah, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero dan Endrick dos Santos.

Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi dua aksi persahabatan Tier 1 pada Jun ini menentang Yaman dan Kepulauan Solomon, sebagai persiapan ke Piala Asia di Qatar, Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 6:01 PM