PAN-gon perlu pilih pemainberdasarkan merit untuk hadapi Piala Asia 2023.
PAN-gon perlu pilih pemainberdasarkan merit untuk hadapi Piala Asia 2023.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jurulatih berpengalaman, B Sathianathan berharap agar pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak 'terperangkap' dengan status naturalisasi pemain negara.

Katanya, penilaian Pan-gon untuk memilih pemain bagi persediaan ke Piala Asia haruslah berdasarkan merit dalam saingan Liga Malaysia musim ini yang akan bermula hujung Februari depan.

Jelasnya secara peribadi, beberapa tonggak naturalisasi di Piala AFF baru-baru ini sebenarnya tidak menunjukkan mutu permainan tinggi apabila sebaliknya ia dilihat setara dengan pemain kacukan dan tonggak tempatan.

"Saya harap untuk Piala Asia nanti, jurulatih memberi penilaian yang penuh kepada pemain tempatan juga kerana saya lihat, pemain naturalisasi tidak lah begitu berbeza dengan pemain kita.

"Sepatutnya mereka lebih baik daripada pemain kita. Dalam Piala AFF sebelum ini, kita kalah juga kepada Thailand dan Vietnam sedangkan kita ada pemain naturalisasi.

"Jadi saya harap, jurulatih dapat menilai prestasi pemain dalam liga yang akan bermula nanti, dan jika ada pemain naturalisasi yang benar-benar bagus, tak ada masalah untuk serapkan dalam pasukan Piala Asia," katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya mempunyai enam tonggak naturalisasi terdiri daripada Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck dan terbaharu, Endrick dos Santos.

Jumlah berkenaan dijangka bertambah pada pertengahan musim ini apabila dua lagi permohonan sedang diproses di peringkat Jabatan Pendaftaran Negara, di mana dua pemain itu adalah Romel Morales dan Paulo Josue dari pasukan Kuala Lumpur City FC.

Ditanya kepada Sathianathan mengenai dua lagi calon pemain kebangsaan itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu berharap Pan-gon dapat menilai berdasarkan prestasi semasa dan tidak mudah memberi 'laluan VIP'.

"Macam saya katakan tadi, jangan ingat kalau pemain itu bagus musim lalu atau dua tahun lalu ia akan sama untuk musim ini. Kita kena nilai pemain mengikut prestasi semasa.

"Jadi kalau Piala Asia pada Januari 2024, sepanjang saingan liga tahun ini adalah medan terbaik untuk jurulatih melihat semua pemain sebelum memanggil mereka," kata bekas jurulatih kebangsaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 4:47 PM