LEE Tuck, Brendan dan Darren. FOTO ASWADI ALIAS
LEE Tuck, Brendan dan Darren. FOTO ASWADI ALIAS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya bakal tampil padu pada Piala Asia di Qatar Januari tahun depan apabila hampir 80 peratus akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain naturalisasi dan kacukan dalam pasukan bimbingan Kim Pan-gon nanti.

Ketika ini, terdapat hampir 21 pemain naturalisasi dan kacukan yang dilihat boleh diserapkan dalam skuad negara disamping beberapa anak tempatan bagi menambah keseimbangan dalam pasukan.

Daripada pecahan itu, 13 pemain berdarah warisan dengan 10 tonggak adalah pemain utama Pan-gon ketika Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu serta Piala AFF baru-baru ini iaitu Matthew Davies, Corbin Ong dan Junior Eldstal dari pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) diikuti Declan Lambert (KL City), David Rowley (Sri Pahang FC), Quentin Cheng (Selangor FC), Brendan Gan (Selangor FC), Darren Lok (Sabah FC), Stuart Wilkin (Sabah FC) dan Dion Cools (Buriram United).

Manakala tiga lagi terdiri daripada Hong Wan (JDT), Ryan Lambert (KL City) dan Nicholas Swirad (Sri Pahang FC) dilihat berpotensi untuk disenaraikan.

Selebihnya tonggak berstatus naturalisasi pula menyaksikan tiga pemain JDT iaitu Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi serta Sergio Aguero (Sri Pahang) dan Lee Tuck (Kedah Darul Aman FC) sudah membuktikan kemampuan masing-masing di depan Pan-gon sebelum ini.

Malah kehadiran tiga pemain naturalisasi terbaharu Endrick dos Santos (JDT) selain dua lagi yang akan didaftarkan oleh KL City FC iaitu Romel Morales dan Paulo Josue sebenarnya sudah melengkapkan sebuah pasukan 'Harimau Malaya versi kacukan' bagi menghadapi gelora di Piala Asia nanti.

Mungkin kehadiran pemain tempatan seperti Safawi Rasid, Faisal Halim, Nor Azam Azih, Syihan Hazmi, Shahrul Saad, Syamer Kutty Abba, Arif Aiman Hanapi dan beberapa nama lagi akan memberi nilai tambah buat skuad impian ini.

Lantas kelompok pemain yang begitu ramai ini harus digunakan sebaiknya Pan-gon dalam memilih barisan terbaik bagi membawa cabaran pasukan kebangsaan di saingan itu yang menghimpunkan negara-negara gergasi seperti Arab Saudi, Jepun, Korea Selatan dan Qatar nanti.

Malah, Pan-gon sendiri meluahkan di Instagram miliknya bahawa skuad negara akan tampil lebih kuat dan mantap selepas ini.

"Terima kasih!. Malaysia yang indah. Negara yang cintai bola sepak. Kami akan kembali lebih kuat", tulisnya selepas pasukan negara terkandas di separuh akhir Piala AFF di tangan Thailand minggu lalu.

Untuk rekod, Malaysia mara secara merit ke Piala Asia selepas muncul lima naib juara terbaik di peringkat Kelayakan Piala Asia Jun lalu, dengan undian pusingan akhir dijadual pada bulan depan.

Skuad negara dijangka berada dalam balang empat bersama India, Thailand, Hong Kong, Indonesia dan Tajikistan, dengan tiga lagi balang dihuni pasukan-pasukan handalan lain dari Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 5:24 PM