JOSUE menerima taraf kerakyatan negara bulan lalu. FOTO Ihsan KL City FC
JOSUE menerima taraf kerakyatan negara bulan lalu. FOTO Ihsan KL City FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua tonggak naturalisasi terbaharu negara iaitu Paulo Josue dan Endrick dos Santos antara muka baru disenaraikan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, di Stadium Sultan Ibrahim, hujung bulan ini.

Kehadiran dua tonggak naturalisasi itu sudah dijangka sebaik pemain berkenaan menerima taraf kerakyatan negara ini bulan lalu sekali gus memberi peluang buat Kim Pan-gon menguji keupayaan dua tonggak itu pada perlawanan persahabatan itu nanti.

Selain Josue dan Endrick, turut mencuri tumpuan adalah kelibat tonggak kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine yang pernah menjalani latihan bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pada tahun lalu.

Nyata kehadiran Laine yang juga pemain kelab SJK Seinajoki di liga utama Finland itu dilihat mampu menambah pilihan buat Pan-gon terutama di posisi penyerang dan tengah negara.

Selain itu, dalam senarai terbabit menyaksikan pemain JDT mendominasi panggilan kali ini membabitkan 11 pemain daripada 27 tonggak yang senaraikan.

Malah, Syamer Kutty Abba yang diketepikan dalam saingan Piala AFF hujung tahun lalu turut dipanggil semula selepas pemain itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan ketika membantu Malaysia layak ke Piala Asia di pusingan kelayakan pada Jun lalu.

Begitupun agak mengejutkan, dua pemain naturalisasi lain iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero tidak disenaraikan biarpun memperagakan aksi agak menarik bersama pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia.

Pasukan kebangsaan akan memulakan kem latihan pada Sabtu ini dengan pusat latihan diadakan di Johor Bharu.

Anak buah Pan-gon akan turun menentang Turkmenistan pada 23 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim sebelum menentang Hong Kong 28 Mac ini, yang turut beraksi di venue sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 3:21 PM