KIM Pan-gon sedang mempersiapkan pasukan. FOTO Eizairi Shamsudin
KIM Pan-gon sedang mempersiapkan pasukan. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jurulatih berpengalaman, B Sathianathan menganggap senarai 27 pemain yang diumumkan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon semalam sebagai barisan campuran terbaik berdasarkan kepada prestasi cemerlang bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Katanya, kehadiran 18 tonggak yang dipanggil semula dan pemain baharu, dengan beberapa muka yang pertama kali dipanggil termasuk dua pemain naturalisasi, Paulo Josue dan Endrick dos Santos bakal memberi pilihan tambahan buat Pan-gon selepas ini.

Jelas Sathianathan yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya dari 2007-2009 lalu mengakui ia juga peluang buat Pan-gon bereksperimen dengan mencuba gandingan baharu dalam pasukan negara.

Malah katanya, ketiadaan pemain utama yang tidak dipanggil seperti Safawi Rasid, Lee Tuck dan Sergio Aguero akan membuka peluang pemain lain menunjukkan kemampuan sebelum jurualatih dari Korea Selatan itu menyenarai pendekkan kelompok terbaik ke Piala Asia di Qatar Januari depan.

"Saya menyokong pilihan yang dibuat Pan-gon kerana beliau sudah tentunya tahu kemampuan setiap pemain yang dipanggil kali ini.

"Melihatkan senarai itu, saya lihat pemain yang disenaraikan adalah pemain yang menyerlah bersama pasukan dalam liga kita sekarang.

"Josue misalnya, dia antara nadi utama KL City (Kuala Lumpur City FC), begitu juga dengan Endrick yang sudah meledak beberapa gol dengan JDT (Johor Darul Ta'zim). Malah, Daniel Ting juga yang pertama kali dipanggil adalah pemain yang bagus bersama Sabah FC sekarang.

"Jadi saya percaya Pan-gon cuba membentuk gandingan baharu apabila memanggil pasukan campuran antara pemain lama dan baharu yang agak ramai kali ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Pan-gon menyenaraikan 27 pemain bagi menyertai kem latihan pusat bermula Sabtu ini yang akan diadakan di Johor Bahru bagi menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, masing-masing pada 23 dan 28 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, di Johor.

Berdasarkan senarai itu, seramai sembilan daripada 23 pemain yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala AFF hujung tahun lalu dikekalkan.

Antara pemain baharu dipanggil kali ini ialah penjaga gol, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Fayadh Zulkifli Amin, Feroz Baharudin, Nooa Laine, Daniel Ting, Josue dan Endrick.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 6:38 PM