BARISAN pemain negara giat menjalani latihan menjelang aksi pertama Piala Asia. FOTO IHSAN FAM
BARISAN pemain negara giat menjalani latihan menjelang aksi pertama Piala Asia. FOTO IHSAN FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehadiran ramai pemain kacukan dan naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya di kempen Piala Asia di Qatar bukan satu perkara janggal dan pelik sehingga boleh merugikan Malaysia kelak.

Menurut bekas jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah situasi itu adalah perkara biasa buat pasukan bola sepak yang menggunakan apa jua sumber dalam memastikan mereka mampu meraih keputusan positif dalam mengharungi kejohanan besar seperti Piala Asia.

Beliau berkata, kehadiran pemain kacukan dan naturalisasi bagai menambah rencah dalam membentuk nskuad mantap sekali gus mampu mengisi kelompongan atau kekurangan membabitkan tonggak tempatan.

"Jika dibandingkan dahulu sememangnya kita tidak menggunakan pemain kacukan atau naturalisasi untuk mengharungi kejohanan antarabangsa.

"Namun, sekarang ini segalanya sudah berubah kerana kita perlu menggunakan sumber atau mengumpul kekuatan lain seperti pemain kacukan dan naturalisasi untuk menguatkan pasukan.

"Kehadiran mereka(pemain kacukan dan naturalisasi) menguatkan lagi barisan pemain skuad Harimau Malaya sekali gus mampu memberi saingan kepada pasukan Asia Barat yang rata-ratanya memiliki fizikal tinggi," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari ini.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan pada kejohanan di Doha, Qatar itu.

Kehadiran Malaysia ke pentas Piala Asia kali ini diperkuatkan dengan 10 pemain kacukan manakala empat lagi adalah naturalisasi.

Antara pemain kacukan yang di panggil pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon adalah Matthew Davies, Corbin Ong,Daniel Ting, Dion Cools, Dominic Tan, Junior Eldstal, Brendan Gan, Natxo Insa, Stuart Wilkin dan Darren Lok.

Pan-gon turut menyenaraikan empat pemain kacukan membabitkan Endrick Dos Santos, Mohamadou Sumareh, Paulo Josue dan Romel Morales bagi mengharungi kempen kumpulan E Piala Asia yang akan bermula 16 Januari ini.

Sementara itu, Azraai berkata, kehadiran pemain kacukan dan naturalisasi tidak akan menutup peluang tonggak tempatan untuk menyerlah di kejohanan terbabit.

"Seperti sedia maklum pemain seperti Arif Aiman, Faisal Halim dan Akhyar Rashid menjadi antara pilihan utama Pan-gon untuk menggempur kubu lawan sekali gus menyaksikan mereka juga mampu bersaing dengan tonggak kacukan serta naturalisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 3:46 PM