KANE tenang walaupun dibebani dengan spekulasi perpindahan. FOTO AFP
KANE tenang walaupun dibebani dengan spekulasi perpindahan. FOTO AFP
AFP

London: Harry Kane menjaringkan empat gol ketika Tottenham Hotspur mencatat kemenangan 5-1 bagi aksi persahabatan pramusim di laman sendiri menentang Shakhtar Donetsk hari ini tatkala spekulasi mengenai masa depan kapten England itu semakin rancak.

Kane sudah memasuki 12 bulan terakhir kontrak enam tahunnya di Spurs dan dirayu secara agresif oleh Bayern Munich, dengan gergasi Jerman itu dilaporkan membuat tawaran terbaru mereka.

Kane yang berusia 30 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda terganggu semasa meledak hatrik dalam tempoh 55 minit menentang Shakhtar bagi perlawanan pertama pengurus baharu, Ange Postecoglou di Stadium Tottenham Hotspur.

Pengendali kelahiran Australia itu mendapat sambutan yang meriah oleh penyokong Spurs dan kemeriahan semakin ketara apabila diumumkan Kane akan menjadi ketua pasukan London utara tanpa kehadiran Hugo Lloris.

Kane, pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Tottenham, melakukan dua percubaan awal yang diselamatkan, sebelum membuka akaunnya dengan sepakan penalti pada minit ke-38 selepas James Maddison dijatuhkan.

Pelawat menyamakan kedudukan di hujung aksi separuh masa pertama menerusi tandukan jarak dekat Kevin Kelsy.

Bagaimanapun, Kane tidak lama kemudian kembali menambah gol apabila dia menanduk masuk hantaran lintang Maddison pada minit ke-50.

Dia menyempurnakan hatrik lima minit kemudian apabila menyambar hantaran Dejan Kulusevski.

Peminat Spurs seumur hidup, menjerit bahawa Kane hanya milik mereka sebelum pemain itu meledak hatrik namun sebahagian daripada penonton melaungkan 'kami mahu anda kekal' selepas gol ketiganya.

Kane melengkapkan hari gemilangnya hasil rembatan susulan dari jarak dekat pada minit ke-79 selepas sepakan lencong pemain gantian, Manor Solomon diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 12:50 AM