Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane. FOTO AFP
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane. FOTO AFP
Agensi

London: Harry Kane meledak dua gol ketika membantu Tottenham Hotspur berada di kedudukan agak selesa untuk melangkah ke peringkat suku akhir Liga Europa menerusi penyudah tajam berdepan wakil Croatia, Dinamo Zagreb.

Kane membuka jaringan pada minit ke-25 sebelum menambah kelebihan buat Spurs menerusi rembatan leret pada minit ke-70.

Tapi penyerang Tottenham gagal melengkapkan hatrik selepas percubaan ke gawang gol tersasar pada penghujung babak perlawanan.

Spurs akan berdepan musuh setempat utara London, Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini, dan bos Spurs, Jose Mourinho berkata pemain kebangsaan England dijangka bersedia untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.

"Ahad adalah perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh semua orang dan perkara kecil tidak akan dapat menghalangnya," katanya kepada BT Sport.

Mourinho melakukan tujuh pertukaran dalam pasukan yang menewaskan Crystal Palace pada Ahad lalu, tetapi dengan mengekalkan Kane dalam senarai permulaan ketika pengurus Spurs berkenaan memberi bayangan percubaan kelab itu untuk memburu tempat dalam kelayakan Liga Juara-Juara menerusi Liga Europa.

"[Kane] melakukan segalanya," kata Mourinho.

"Dia melakukan tugas penyerang dengan berkesan iaitu menjaringkan gol.

"Berkerja sama dalam pasukan, mengawal corak permainan serta berusaha gigih bertahan yang pasti tidak banyak penyerang boleh melakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 11:08 AM