KANE (kanan) meraikan jaringannya ketika bertemu Ludogorets di Razgrad, Bulgaria. FOTO AFP
KANE (kanan) meraikan jaringannya ketika bertemu Ludogorets di Razgrad, Bulgaria. FOTO AFP
AFP

Paris: Harry Kane menjaringkan gol peribadi ke-200 untuk Tottenham Hotspur ketika membantu kelabnya itu mencatat kemenangan 3-1 ke atas Ludogorets pada saingan Liga Europa di tempat lawan, hari ini.

Kane yang juga kapten England, menjaringkan gol pembukaan untuk skuad bimbingan Jose Mourinho pada minit ke-12 selepas dia menanduk masuk sepakan penjuru Lucas Moura untuk melakar rekod peribadi itu pada penampilan ke-300 bersama Spurs.

Kane kemudian menjadi watak kepada gol Moura minit ke-32 apabila dia melakukan hantaran rendah yang cantik kepada pemain Brazil itu sebelum digantikan pada babak kedua.

Claudiu Keseru merapatkan jurang untuk kelab Bulgaria itu lima minit selepas bermula separuh masa kedua namun Giovani Lo Celso memastikan kemenangan Spurs dengan gol ketiga minit ke-62.

"Ia pencapaian yang sangat hebat dan saya berharap mampu meraih lebih banyak pencapaian lagi.

"Masa berlalu dengan sangat pantas. Saya berasakan baru semalam menjaringkan gol pertama untuk Spurs.

"Ia pencapaian yang amat membanggakan tetapi biarlah ia berterusan selepas ini," kata Kane.

Sementara itu, Rangers dilihat hampir melakar kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan di Kumpulan D hasil gol sendiri Diogo Goncalves serta sumbangan Glen Kamara dan Alfredo Morelos yang menyaksikan skuad bimbingan Steven Gerrard pada satu ketika mendahului 3-1.

Bagaimanapun di sebalik kehilangan Nicolas Otamendi yang dilayangkan kad merah pada 20 minit pertama permainan, Benfica bangkit menyamakan kedudukan menerusi Rafa Silva dan Darwin Nunez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 8:00 AM