KANE mungkin akan kekal di Tottenham. FOTO REUTERS
KANE mungkin akan kekal di Tottenham. FOTO REUTERS
Agensi

London: Tottenham menolak tawaran terakhir Bayern Munich untuk mendapatkan Harry Kane sekali gus mencetuskan ketidakpastian berhubung perpindahannya.

Gergasi Jerman itu bertemu dengan Pengerusi Spurs, Daniel Levy di London minggu lalu tetapi tawaran terbaru mereka sebanyak £86 juta (RM501.1 juta) bersama tambahan £17 juta (RM99 juta), masih kurang daripada penilaian Tottenham.

Ia sekali gus mencetuskan ketidakpastian sama ada perbincangan akan diteruskan atau tidak antara kedua-dua kelab berkenaan.

Juara Bundesliga itu mahu sebarang perjanjian diselesaikan Ahad lalu dan sudah memberi amaran kepada Spurs bahawa tawaran terbaharu itu kemungkinan adalah tawaran terakhir mereka.

Kane, yang memasuki 12 bulan terakhir kontraknya dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menandatangani kontrak baharu, mahu masa depannya diputuskan sebelum aksi pertama Tottenham menentang Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad ini.

Sekiranya tiada tawaran terbaru, Spurs berisiko kehilangan kapten England itu tanpa mendapat apa-apa pada musim panas akan datang.

Pemain berusia 30 tahun itu bebas untuk menandatangani pra-kontrak dengan kelab luar negara mulai Januari tahun depan.

Kane menjaringkan empat gol ketika Spurs membelasah Shakhtar Donetsk dalam perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Tottenham Hotspur, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 8:09 AM