PEMAIN JDT, Mattew Davies (kanan) beraksi pada perlawanan Piala Malaysia. -FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
PEMAIN JDT, Mattew Davies (kanan) beraksi pada perlawanan Piala Malaysia. -FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pemain Kelantan FC disifatkan sudah mula memahami tugas ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala Malaysia, malam tadi.

Ketua Jurulatihnya, Alfredo Vera berkata, anak buahnya menunjukkan persembahan yang bagus dengan melakukan banyak percubaan jaringan selain banyak merebut bola.

Katanya, perlawanan menentang pasukan kuat seperti JDT bukan senang tapi pasukannya mampu bermain dengan tenang.

"Mereka sudah tahu bagaimana cara (nak bermain), minit perlawanan juga semakin banyak beri pengalaman untuk bantu atasi JDT.

"Pemain sudah faham, berani buat percubaan, buat apa yang kita berlatih, tapi kita masih banyak kerja untuk dilakukan," katanya selepas perlawanan.

Vera berkata, dia juga menunggu empat import baru bagi memperkasa pasukan The Red Warriors bagi menghadapi saingan Piala Malaysia dan baki saingan Liga Super, musim ini.

Sementara itu, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengesahkan empat import akan tiba hari ini dan esok bagi menyertai kem pasukan.

Empat import yang menyertai Kelantan adalah Aliakhbar Ahmadi (Iran), Dennis Buschening (Thailand), Ahmed Magdy (Mesir) dan Alie Sesay (Sierra Leone).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 12:28 PM