HARITH Akif Shahar (tengah) meledak dua gol buat Kelantan FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi. -FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
HARITH Akif Shahar (tengah) meledak dua gol buat Kelantan FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi. -FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ketua Jurulatih Kelantan FC, Angel Alfredo Vera gembira dengan barisan ubi muda pasukan itu kerana mampu memberi saingan sengit kepada Penang FC pada aksi Liga Super yang berakhir dengan keputusan 4-3 di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.

Jurulatih asal Argentina berusia 50 tahun itu melihat kem tuan rumah terpaksa berhempas pulas sebelum dapat mengalahkan anak buahnya biarpun telah mendahului 3-1 sebelum menuju tamat separuh masa pertama.

"Kita kejar dari belakang sehingga dapat gol penyamaan dan Penang mempunyai pemain-pemain import yang tinggi dengan hujan lebat sepanjang perlawanan mengganggu aksi kedua-dua pasukan.

"Namun saya melihat pemain muda kita main dengan bagus dan bersemangat menutup seberapa banyak kekurangan walaupun kita tiada banyak waktu untuk persiapan latihan bersama mereka.

"Tapi ya kita beri mereka motivasi untuk mereka boleh bersaing dengan pemain profesional dan ternyata mereka boleh bermain dan saya senang sekali kerana mereka tampil bagus," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

TRW membawa 10 pemain bawah 23 tahun dalam kunjungan ke Pulau Mutiara semalam termasuk Harith Akif Shahar yang menyumbat dua gol buat pasukan itu selain dua lagi pemain bawah 20 dan 18 tahun.

Vera berkata tiada sesiapa yang suka kalah termasuk dirinya namun beliau melihat keupayaan anak buahnya memberi balasan tiga gol sebagai sesuatu yang positif apatah lagi dalam situasi pasukan itu ketika ini.

Beliau juga mahu melihat ke hadapan dalam persediaan melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) FC Jumaat ini dan berharap dapat menyajikan permainan terbaik buat penyokong mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 1:14 PM