PEMAIN Kelantan FC, Muhamimin Izuddin Muhamad Asri (tengah) diasak oleh pemain Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN Kelantan FC, Muhamimin Izuddin Muhamad Asri (tengah) diasak oleh pemain Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Ketiadaan import baharu nyata menjejaskan rentak Kelantan FC untuk terus mencatat kemenangan sehingga ditewaskan Terengganu FC 8-0 malam tadi.

Ketua Jurulatih Kelantan, Alfredo Vera berkata, dia tidak faham apa yang berlaku apabila bolos begitu banyak gol namun mengakui Terengganu bermain sangat bagus dan sukar ditewaskan.

"Kita sudah beraksi dengan baik, tapi tidak boleh potong permainan mereka (Terengganu). Selepas kena beberapa gol, mental pemain juga mulai turun," katanya ketika ditemui selepas perlawanan pusingan ke 20 Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.

Bekas pengendali Persita Tangerang itu berkata, dia terpaksa berusaha menggunakan pemain yang ada untuk meneruskan baki saingan liga selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menolak pendaftaran empat import baru The Red Warriors (TRW).

"Kita harus fokus dan guna pemain muda yang ada untuk lawan seterusnya, iaitu juga pasukan yang kuat, Johor Darul Ta'zim (JDT)," kata Vera.

Sementara itu, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berkata, dia gembira dengan jaringan terbesar yang diperolehi pasukan sejak sepak mula liga, musim ini.

"Perlawanan malam ini (tadi) tidak begitu sukar, namun tidak mudah juga untuk buat jaringan tapi Sony (Sony Norde) banyak buat hantaran dan import banyak membantu. Saya juga gembira dengan beberapa pemain muda yang bermain dengan baik," katanya.

Steinbruckner berkata, dia turut simpati dengan nasib Kelantan yang tidak dapat mendaftarkan pemain import sehingga terpaksa menurunkan barisan pemain yang sama seperti perlawanan.

"Mereka ada keyakinan, tapi hanya ada dua import sudah pasti itu jadi kelebihan buat kami. Saya tak tahu bagaimana perasaan ketua jurulatihnya (Vera) selepas keputusan 8-0, sudah pasti itu perasan yang tidak bagus," katanya.

Kelantan kini dalam resah apabila Fifa menolak pendaftaran empat import baru iaitu Aliakbar Ahmadi, Allie Sisse, Ahmed Magdy dan Dennis Buschening yang menyaksikan masa depan TRW terus gelap untuk memperbaiki kedudukan kedua tercorot liga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 10:05 AM