AKSI antara JDT dan Kelantan malam tadi. FOTO Bernama
AKSI antara JDT dan Kelantan malam tadi. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Kelantan FC, Alfredo Vera mengakui sepanjang karier selaku pemain dan jurulatih belum pernah dibelasah 0-10 dan kekalahan terburuk kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi, amat memalukan.

Walaupun Vera menjangkakan kekalahan pada perlawanan tapi terkejut dengan keputusan luar biasa yang menyaksikan JDT mara ke peringkat seterusnya dengan agregat 15-1 dan sememangnya ia perit untuk ditelan.

Pengendali kelahiran Argentina itu menggunakan alasan betapa barisan pemain yang bergelar The Red Warriors sememangnya tidak memiliki kualiti untuk bersaing dan tiada pengalaman bersaing dalam kancah saingan kompetitif.

"Jika saya mahu cari alasan sudah tentu banyak malah ia membabitkan persiapan dan dibarisi pemain mudah rata-rata pemain bawah 18 tahun dan 23 tahun dan mereka masih belum berpengalaman untuk menentang pasukan yang jauh lebih hebat.

"Bagaimanapun, kami terpaksa dengan barisan pemain yang sedia ada untuk pasukan yang lebih kuat kerana tiada pilihan lain dan bukan saya cari alasan malah pemain bukan kurang bagus tapi hanya pengalaman yang memisahkan mereka.

"Kami hanya ada seorang pemain import saja yang beraksi sehingga tamat perlawanan selepas Leandro (Rolon) hanya beraksi dalam tempoh 10 minit sahaja sebelum dikeluarkan akibat kecederaan selain kami tidak memiliki stopper di benteng pertahanan." katanya.

Vera menambah di antara 11 pemain yang beraksi menentang skuad kendalian Esteban Solari, hanya seorang sahaja pemain yang ada kualiti beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi, sebaliknya pemain lain tidak mampu untuk menandingi kepantasan corak permainan JDT yang jelas menguasai keseluruhan permainan.

Ditanya sama ada Kelantan FC mampu untuk kekal berada dalam saingan Liga Super musim depan, tatkala hanya berbaki enam perlawanan yang perlu diharungi, Vera seakan-akan tidak mampu untuk meletak sasaran namun masih menaruh harapan tinggi supaya pasukan itu tidak tercicir ke Liga M3.

"Saya tidak tahu sama ada mampu kekal atau tidak, apapun kita harus lawan dan berharap beberapa pemain yang masih mengalami kecederaan kembali pulih untuk mengharungi baki enam perlawanan yang saya anggap cukup kritikal.

"Aksi menentang Selangor, di gelanggang sendiri, Jumaat ini sudah tentu mencabar bagi kami tapi kami akan membuat persiapan rapi kerana enggan lagi keciciran mata," kata Vera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 11:27 AM