PEMAIN Kelantan United FC (KUFC), Arif Ar-Rasyid Ariffin (tengah) berjaya menanduk bola selepas dihalang oleh pemain Kelantan FC. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN Kelantan United FC (KUFC), Arif Ar-Rasyid Ariffin (tengah) berjaya menanduk bola selepas dihalang oleh pemain Kelantan FC. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: "Saya bingung dan tidak tahu apa yang terjadi", ulas pengendali Kelantan FC, Angel Alfredo Vera selepas anak buahnya dibelasah Kelantan United Football Club (KUFC) 7-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Cabaran, malam tadi.

Vera, 50, berkata, permainan tidak berjalan seperti dirancang, tiada hantaran malah dia melihat pemainnya tidak berani untuk bermain.

"Banyak perkara saya fikir, pemain masih muda, pemain takut, saya tidak tahu apa terjadi kepada mereka, permainan tidak berjalan (dengan baik).

"Buat saya bingung, saya tidak boleh beritahu kalian apa yang terjadi, sebab kalau beritahu jadi seperti alasan," katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.

Vera berkata, insiden kad merah yang diterima penjaga gol, Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi minit 55 selepas mengasari Ismaheel Akinade turut meranapkan moral pemainnya, namun katanya, ketika di bilik persalinan, dia masih memberikan motivasi untuk pemain bangkit.

"Selalu saya bilang (beritahu) saya tak salahkan pemain, mereka bekerja tapi pemain kita masih muda, saya cakap benda yang sama sehingga kita berada pada siri-siri kekalahan yang besar," katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu bagaimanapun akan terus berusaha dan menganggap kekalahan dialami TRW adalah tanggungjawab bersama.

Sementara itu, ketua jurulatih KUFC, Ailton Dos Santos Silva menganggap pesta gol itu sebagai satu motivasi untuk pasukan bersaing musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 1:03 PM