KAPTEN Arsenal, Martin Odegaard menjulang trofi selepas menewaskan Monaco. FOTO REUTERS
KAPTEN Arsenal, Martin Odegaard menjulang trofi selepas menewaskan Monaco. FOTO REUTERS
Agensi

London: Arsenal menamatkan jelajah pramusim mereka dengan menewaskan AS Monaco, 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti untuk memenangi Piala Emirates selepas terikat 1-1 pada masa sebenar.

Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus diketepikan kerana pembedahan lutut, sekali gus membolehkan Eddie Nketiah mengisi kekosongan pemain Brazil itu.

Selepas perlawanan itu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengesahkan Jesus akan terlepas permulaan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) dan terpaksa berehat selama beberapa minggu.

Ketiadaan Jesus dalam aksi menentang Monaco itu membolehkan Nketiah bermain 90 minit dan menyumbat gol penyamaan selepas Youssouf Fofana meletakkan kelab Ligue 1 Perancis itu di depan.

Perlawanan itu ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti dan pemain pertahanan, Gabriel meledak masuk penalti kemenangan 5-4 selepas Takumi Minamino gagal menyempurnakan penalti buat pasukan lawan.

Pemain baharu Arsenal, Declan Rice turun kali pertama dalam kesebelasan utama di Stadium Emirates dan beraksi 60 minit di bahagian kiri trio tengah Arsenal manakala seorang lagi pemain baharu, Jurrien Timber bermula di pertahanan kiri susulan ketiadaan Oleksandr Zinchenko.

Pengurus legenda Arsenal, Arsene Wenger turut menyaksikan perlawanan bagi meraikan perasmian tugu baharunya di luar stadium dan Arsenal sekali lagi mempamerkan kemampuan untuk memberi cabaran bermakna dalam semua pertandingan musim depan.

Bagaimanapun, di sebalik beberapa detik mengagumkan daripada Gabriel Martinelli, Arsenal gagal mempamerkan penguasaan sebenar pada babak awal aksi itu.

Sebaliknya, Monaco kelihatan lebih mengancam menerusi serangan balas pantas dan mereka mendahului pada minit ke-31 apabila hantaran lintang Mohamed Camara disambut tandukan padu Fofana untuk mengatasi Aaron Ramsdale.

Arsenal menyamakan kedudukan dua minit sebelum rehat selepas percubaan Rice dihalang dan diberikan tendangan sudut.

Sepakan sudut Martinelli mudah ditampan masuk Nketiah dari jarak dekat ketika dia tidak dikawal pemain Monaco.

"Bagi pemain baharu, beraksi buat kali pertama di Stadium Emirates adalah sesuatu yang istimewa, anda boleh rasakan kehangatannya dan bagaimana peminat begitu teruja.

"Dari segi perlawanan, kami agak bergelut sedikit untuk benar-benar menguasainya, tetapi akhirnya kami mendapat apa yang dimahukan, kami beraksi lebih bagus pada babak kedua," kata Arteta selepas perlawanan.

Arsenal memenangi pertandingan sulung Piala Emirates pada 2007 diikuti kemenangan berikutnya pada 2009, 2010, 2015, 2017, 2022 dan 2023.

Lima pasukan lain pernah memenangi pertandingan persahabatan itu termasuk Hamburg pada 2008, New York Red Bulls (2011), Galatasaray (2013), Valencia (2014) dan Lyon (2019).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 10:04 AM