SAKA menjaringkan gol kedua Arsenal. FOTO Reuters
SAKA menjaringkan gol kedua Arsenal. FOTO Reuters
AFP

London: Arsenal hanya selangkah untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) selepas Leandro Trossard dan Bukayo Saka membantu menewaskan Sevilla 2-0, awal pagi tadi.

Skuad Mikel Arteta kembali ke landasan kemenangan selepas dua kekalahan berturut-turut aksi domestik hasil jaringan Trossard pada babak pertama dan rembatan Saka selepas rehat di Stadium Emirates.

Dengan tiga kemenangan daripada empat perlawanan Kumpulan B, Arsenal menduduki tangga teratas, empat mata di depan pasukan di tangga kedua PSV Eindhoven.

Kelab utara London itu kini hanya memerlukan satu mata daripada dua baki perlawanan menentang Lens di tempat sendiri dan PSV di tempat lawan untuk menempah tempat ke peringkat 16 terakhir.

Hanya yang membimbangkan Arteta ialah kecederaan Saka yang dialami pada lewat permainan.

"Hanya terkena sepakan. Harap tidak terlalu teruk dan saya jangka dia OK," katanya.

"Ia akan berlaku apabila pemain sayap sukar dibendung lawan. Saya tak fikir ia akan berubah dengan cara dengan bermain. Dia perlu membiasakan diri dengan cabaran itu," kata Arteta merujuk pemain England itu yang kerap dikasari pemain lawan.

Menewaskan Sevilla kembali memulihkan keyakinan penyokong Gunners selepas pasukan mereka tewas di tangan West Ham dalam aksi Piala Liga dan kemenangan sempurna mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dimusnahkan Newcastle.

Arsenal membuka tirai jaringan minit ke-29 selepas Saka melorongkan bola kepada Trossard yang menolak masuk dari jarak dekat.

Ia jaringan keempat pemain Belgium berusia 28 tahun itu yang membalas kepercayaan Arteta selepas dipilih sebagai penyerang tengah menggantikan Eddie Nketiah dan Gabriel Jesus yang mengalami kecederaan.

Saka dan Gabriel Martinelli sekali lagi bergabung untuk menghasilkan gol kedua minit ke-64.

Hantaran cantik Martinelli pantas dimanfaatkan Saka yang bijak memperdayakan pertahanan lawan sebelum meledak rembatan yang menewaskan penjaga gol Marko Dmitrovic.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 8:32 AM