NKETIAH (tengah) menjaringkan gol kemenangan Arsenal. FOTO Reuters
NKETIAH (tengah) menjaringkan gol kemenangan Arsenal. FOTO Reuters
AFP

Paris: Bintang muda Brazil, Marquinhos menjaringkan gol pada penampilan sulungnya di Arsenal ketika The Gunners memulakan kempen Liga Europa mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas FC Zurich di Switzerland.

Marquinhos, 19, yang ditandatangani dari Sao Paulo pada Jun lalu, menjaringkan gol selepas menerima hantaran Eddie Nketiah pada minit ke-16 untuk meletakkan Arsenal di hadapan dekat St Gallen.

Zurich yang juga juara Switzerland musim lalu, menyamakan kedudukan minit ke-44 apabila Mirlind Kryeziu menyempurnakan sepakan penalti selepas Nketiah melakukan kekasaran di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Nketiah menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol kemenangan minit ke-62 apabila menanduk masuk hantaran Marquinhos.

Aksi Arsenal dan Zurich itu berlangsung ketika berita kematian Ratu Elizabeth II dari Britain diumumkan dan kedua-dua pasukan bertafakur selama seminit sebelum bermulanya aksi separuh masa kedua.

Kemenangan itu menyaksikan permulaan sempurna untuk Arsenal dalam Kumpulan A selepas pengurus, Mikel Arteta melakukan lapan pertukaran berbanding ketika tewas 1-3 di Manchester United pada aksi Liga Perdana minggu lalu.

Gabriel Jesus, Martin Odegaard dan Aaron Ramsdale adalah antara pemain yang direhatkan sementara Marquinhos membuat penampilan pertamanya, begitu juga penjaga gol Amerika Matt Turner, yang ditandatangani dari New England Revolution.

Fabio Vieira juga membuat penampilan pertama sejak menyertai Porto.

Arsenal akan menanti kunjungan PSV Eindhoven di Stadium Emirates, 16 September ini.

Sementara itu, AS Roma yang sedang berusaha untuk merangkul trofi Eropah kedua berturut-turut selepas memenangi Liga Konferensi Europa musim lalu, tewas mengejut 1-2 kepada Luodogorets Razgrad di Bulgaria dalam saingan Kumpulan C.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 7:55 AM