Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati atas kejayaan menundukkan Penang FC di tempat lawan biarpun sekadar menang tipis 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu berpendapat memburu kemenangan adalah lebih penting berbanding menghitung berapa jumlah gol boleh dicetak bagi satu-satu perlawanan yang dihadapi.

"Kemenangan tiga mata lebih penting daripada apa yang saya fikirkan tentang berapa jumlah gol yang boleh dihasilkan.

"Saya tidak pentingkan gol yang banyak terutamanya kami bermain di tempat lawan," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Sebagai rekod Sang Badak pernah mencatat kemenangan besar 5-2 ke atas Penang dalam pertembungan di Stadium Likas, Sabah pada 17 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata anak buahnya bermain dengan agak baik terutama separuh masa pertama namun leka pada babak kedua menyebabkan gawang kem pelawat dibolosi pada minit ke-76.

"Perkara seperti ini tidak boleh berulang di mana kita bermain di tempat lawan. Apabila pasukan lawan mendapatkan gol pertama sudah tentu memberi tekanan pada pasukan.

"Namun kita dapat mengekang asakan daripada pasukan Penang dan berjaya mempertahankan gol kita sehingga minit terakhir," ujarnya.

Beliau turut menyifatkan tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan termasuk menjelang saingan Piala Malaysia menentang Kuching City FC di Sarawak pada Sabtu ini memberi kesan kepada persediaan pasukannya.

"Sebelum ini kita 'melancong' ke Selangor..itu memberikan satu perjalanan yang amat jauh untuk kita terbang ke sana sini bukan saja perbelanjaan yang penting saya harus lihat faktor keletihan dan kecergasan para pemain.

"Ini penting untuk saya menyenaraikan pemain-pemain yang cukup cergas kerana kita tahu bermain di Kuching bukan satu perkara mudah dan kita perlu memastikan kita berada di landasan betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 11:14 AM
KIM Swee pada sidang media selepas perlawanan Liga Super antara Penang FC menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. NSTP/MIKAIL ONG
KIM Swee pada sidang media selepas perlawanan Liga Super antara Penang FC menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. NSTP/MIKAIL ONG