KIM Swee ketika sidang media di Stadium Likas hari ini. FOTO BERNAMA
KIM Swee ketika sidang media di Stadium Likas hari ini. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Aura Stadium Likas bakal dijadikan sandaran buat Sabah FC dalam memburu kemenangan ke atas kelab Vietnam, Hai Phong FC dalam aksi keempat Kumpulan H saingan Piala AFC, malam esok.

Menurut pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berdasarkan rekod beraksi di halaman sendiri sepanjang musim ini, skuad The Rhinos dilihat mempunyai peluang untuk membalas kekalahan pada aksi terdahulu di Hai Phong sebelum ini.

Untuk rekod, anak buah Kim Swee cukup gah di Likas apabila mencatatkan 12 kemenangan daripada 17 perlawanan dalam semua pertandingan dilalui, dengan hanya tumbang dua kali dan seri tiga kali.

Malah ujar Kim Swee lagi, barisan seranganya dilihat cukup 'berselera' untuk merobek gawang lawan setiap kali bermain di depan puluhan ribu penyokong sendiri.

"Kalau kita lihat rekod kita di Likas, kita sering mendapat gol awal di babak pertama. Namun apa yang berlaku sama ada kita dapat gol awal ataupun lewat, yang penting di sini kita tidak boleh leka," katanya pada sidang media praperlawanan hari ini.

Katanya lagi, pemain perlu fokus daripada minit pertama dan diingatkan agar tidak leka biarpun sesaat.

"Di sini kalau kita berjaya menjaringkan satu ataupun dua gol di awal permainan, tetapi kita leka dan kita dibolosi dua ataupun tiga, jadi perkara (berisiko tewas) yang sama berulang.

"Yang penting kita harus kekal fokus daripada awal permainan sehingga akhir permainan dan dalam situasi tersebut, kita perlu mengambil peluang di mana peluang tersebut perlu disempurnakan jika tidak kita tidak akan menjaringkan gol.

"Jadi yang lebih penting di sini, kalau kita kekal fokus saya percaya kita mampu mendapatkan apa yang kita ingin," kata bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu.

Pada aksi pertama di Hai Phong sebelum ini, Sabah tumbang 2-3 untuk berada di tangga kedua kumpulan dengan enam mata selepas sebelum itu menang ke atas Hougang United dari Singapura (3-1) dan kelab Indonesia, PSM Makassar (5-0).

"Tentu kita menganalisa perlawanan kita dengan Hai Phong, di mana apabila kita tewas di sana dah tentu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Dah tentu juga Hai Phong ada kelebihan tersendiri dan pada masa yang sama, kita tak perlu terlalu gusar di mana kita bermain di Stadium Likas.

"Saya percaya bermain di tempat sendiri akan memberi kelebihan tetapi kita tidak boleh mengambil mudah," kata Kim Swee lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:59 PM