PEMAIN Sabah FC menumpukan usaha mengatasi isu penyudah tumpul dalam sesi latihan selepas perlawanan pertama Liga Super. FOTO Sabah FC
PEMAIN Sabah FC menumpukan usaha mengatasi isu penyudah tumpul dalam sesi latihan selepas perlawanan pertama Liga Super. FOTO Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC tidak mahu isu penyudah tumpul berulang pada perlawanan kedua Liga Super apabila bertandang ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bertemu Kelantan Darul Naim FC, malam esok.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata isu itu diberi tumpuan dalam sesi latihan selepas perlawanan pertama menentang Pulau Pinang FC yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Likas pada Ahad lalu.

Tumpuan Sabah FC kali ini, katanya adalah untuk memastikan pemain dapat mencipta gol bagi memenangi perlawanan di Kelantan agar dapat memberi motivasi kepada pasukan.

"Sasaran kita adalah ingin beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan apa lagi untuk meraih tiga mata malam esok. Apa yang lebih penting adalah semua pemain perlu kekal fokus dengan apa juga corak permainan nanti.

"Sabah FC menganggap perlawanan malam esok sangat penting untuk mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan sekali gus memastikan pulang dengan satu keputusan yang sangat positif," katanya mengulas persiapan menghadapi Kelantan Darul Naim.

Kim Swee bagaimanapun menjangkakan perlawanan esok sebagai sengit berdasarkan pencapaian Kelantan Darul Naim yang hanya kalah tipis 1-0 di tangan Sri Pahang FC pada perlawanan pertama Liga Super minggu lalu.

"Tugas Sabah FC lebih mencabar, perlawanan malam esok sudah tentu pihak tuan rumah (Kelantan) ingin mempamerkan mutu persembahan yang bertenaga dan sudah pasti akan memberi cabaran besar kepada pemain untuk mendapatkan keputusan positif," katanya.

Kim Swee berkata, beliau melihat tiada perbezaan apabila Sabah FC bermain dengan mana-mana pasukan kerana setiap perlawanan adalah sama penting untuk memastikan kemenangan.

"Kita akan cuba mendapatkan kemenangan pertama esok, dalam masa sama kita tahu pada saingan awal Liga Super semua pasukan bersiap sedia dengan baik.

"Semua pemain sudah bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan dan kita mahu memastikan mereka dapat mencatat kemenangan pertama di tempat lawan sekali gus menyuntik semangat untuk menghadapi perlawanan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 2:05 PM