Asmawi terkejut tewas kepada Kemboja. FOTO fail NSTP
Asmawi terkejut tewas kepada Kemboja. FOTO fail NSTP

Meor Riduwan Meor

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri berharap kesebelasan utama skuad bawah 22 tahun (B-22) terus fokus mencipta kemenangan dalam perlawanan kedua Piala AFF B-22 menentang Indonesia, esok.

Menurutnya, ketiadaan pemain tonggak termasuk Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dalam pasukan bukan alasan untuk pasukan kebangsaan memberikan saingan kepada lawan dalam Kumpulan B.

"Mungkin kita tiada cara lain, mesti menang baki dua perlawanan, sebab tewas perlawanan pertama dan pada masa sama mengharapkan satu lagi pasukan kalah. Baki dua perlawanan mesti menang.

"Harapan saya, pemain kita lebih tajam, fokus dan agresif di bahagian serangan untuk mendapatkan gol," katanya dihubungi Arena Metro.

Asmawi berkata, beliau optimis barisan pemain akhir dipilih oleh Datuk Ong Kim Swee mampu menghasilkan kemenangan dan terpulang kepada jurulatih berpengalaman itu merencanakan strategi.

"Tiada tonggak bukan alasan, kalau ikut ranking pemain sedia ada dalam skuad B-22 memadai untuk mencipta kemenangan. Cuma (bergantung) apa yang dibuat oleh Kim Swee.

"Buat apa memperkatakan pemain yang tiada, sebaliknya fokus kepada pemain yang ada. Saya yakin selepas melihat permainan pasukan lawan Myanmar, Kemboja dan Indonesia beliau tahu apa perlu dibuat (untuk menang).

"Cuma saya terkejut dan kekalahan kepada kemboja ini suatu yang tidak dijangkakan. Mereka bermain bersungguh-sungguh, fizikal dan agresif menjadikan pemainan nampak seimbang," katanya.

Mengulas lanjut, Asmawi berkata, beliau menjangkakan perlawanan patut berkesudahan 0-0.

"Kesilapan gol itu saya tidak berapa boleh terima sebab melalui sepakan percuma, kemudian Haziq (Haziq Nadzli) mungkin salah mengagak bola.

"Saya tidak nafikan apa Kim Swee buat, formasi 3-4-3.

Mungkin ada pemain tiada dalam perancangan beliau semalam. Bila R Kogileswaran cedera dan dikeluarkan, serangan kurang tajam.

"Namun permainan kembali lancar dengan kemasukan Ariusdius Jais namun cuma sekejap sebelum kita terpaksa main 10 orang," katanya turut memuji pemainan ditampilkan, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Kogileswaran serta barisan pertahanan.

Beliau berkata, faktor bermain di padang sintetik sedikit sebanyak mempengaruhi corak pemainan pasukan negara.

"Kalau main di padang rumput, mungkin ada peluang kerana padang sintetik ini pergerakan bola tidak begitu cantik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 6:41 PM