ONG Kim Swee. FOTO Mohd Adam Arinin
ONG Kim Swee. FOTO Mohd Adam Arinin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain Sabah FC diberi peringatan supaya tidak dibuai mimpi walaupun ketika ini berjaya mencatat dua kemenangan hingga berada di kemuncak Liga Super.

Ini kerana pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, jika terlalu 'santai' beraksi menentang pasukan daripada Liga Perdana musim lalu seperti Kuching FC, ia boleh menyebabkan mereka terjerat hingga hilang tiga mata penting.

Malah, Kim Swee berkata situasi terbabit terbukti apabila barisan anak buahnya dihukum dengan dibolosi satu gol ketika berdepan Kelantan United, Rabu lalu.

Pada aksi di Stadium Likas itu, skuad Badak terlepas peluang menamatkan aksi tanpa dibolosi apabila pasukan lawan menyumbat satu gol menerusi penyerang veteran mereka, Indra Putra Mahayuddin untuk kedudukan 3-1.

"Pemain harus tahu bahawa apabila kita mendahului, kita harus pastikan bahawa kita tidak dibolosi.

"Jadi, perkara ini perlu diperbaiki dan mana mana pemain yang digantikan pun harus mengekalkan corak permainan kita. Semua pemain memikul tanggungjawab sama," kata Kim Swee.

Sebagai rekod, Sabah FC ketika ini konsisten menerusi dua kemenangan berturut turut ke atas dua pendatang baharu Liga Super, PDRM FC (4-0) dan Kelantan United (3-1).

Mengulas lanjut pertembungan dengan Kuching City FC yang juga salah satu pendatang baharu, bekas pengendali skuad kebangsaan ini menjangkakan aksi yang berbeza berbanding dua perlawanan pertama mereka.

"Sudah tentu berbeza apabila bermain di tempat lawan tetapi yang penting adalah kita perlu berada pada tahap terbaik.

"Beraksi di hadapan penyokong lawan, kita harus bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku pada perlawanan itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 2:14 PM