KIM Swee tidak mahu anak buahnya pandang mudah kekuatan Kuching. FOTO MOHD ADAM ARININ
KIM Swee tidak mahu anak buahnya pandang mudah kekuatan Kuching. FOTO MOHD ADAM ARININ
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekalan satu gol yang di bawa ke Kota Kinabalu bagi aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia masih belum selamat dan ia diakui pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Jelas bekas pengendali kebangsaan itu, pemainnya tidak boleh mendabik dada walaupun bakal bermain di hadapan penyokong sendiri pada Jumaat ini di Stadium Likas.

Katanya, kemenangan 1-0 ke atas Kuching City FC di tempat lawan masih belum menjamin tempat buat skuad The Rhinos ke separuh akhir.

"Satu keputusan yang baik tetapi seperti saya katakan, ini bukan bermakna kita telah layak di mana, ada lagi pusingan kedua walaupun bermain di tempat sendiri," katanya selepas aksi dengan Kuching City itu Stadium Negeri Sarawak itu.

Dalam aksi terbabit, gol tunggal perlawanan disumbangkan oleh Baddrol Bakhtiar di minit 69.

Menurut Kim Swee lagi, barisan pemainnya harus berjaga-jaga apabila kedua-dua pasukan bertemu di Likas kerana berdasarkan firasatnya, Kuching City dijangka bangkit untuk beraksi lebih baik bagi memburu jaringan.

Katanya, ia dibuktikan selepas pasukannya berjaya mendahului hasil jaringan Baddrol dan lawan dilihat cukup mengancam menyerang bertubi-tubi untuk mencari gol penyamaan.

"Kita tidak boleh mengambil mudah, di mana Kuching City menunjukkan satu prestasi yang baik terutama selepas ketinggalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 3:45 PM