PEMAIN baharu TFC, Nurillo Tukhtasinov (kiri) bersama rakan senegaranya, Sardor Kulmatov pada sesi latihan petang semalam. FOTO TFC
PEMAIN baharu TFC, Nurillo Tukhtasinov (kiri) bersama rakan senegaranya, Sardor Kulmatov pada sesi latihan petang semalam. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas sah menjadi ahli keluarga baharu Terengganu FC (TFC) semalam, Nurillo Tukhtasinov akui tidak sabar untuk menyarung jersi skuad itu berdepan PDRM FC, Ahad ini.

Jelas pemain tengah skuad kebangsaan Uzbekistan berusia 26 tahun itu, dia mahu merasai sendiri pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) kerana sebelum ini hanya mendengar daripada rakan senegaranya.

Tambah teruja apabila rakan senegaranya, Sardor Kulmatov juga menyarung jersi TFC di posisi pertahanan sejak awal musim ini sekali gus menambah lagi semangatnya bersama skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu.

"Saya begitu teruja selepas mendapat tawaran daripada TFC, saya mahu merasai sendiri pengalaman beraksi dalam Liga M buat kali pertama, lagipun ramai pemain senegara bermain di sini (Liga M) termasuk Kulmatov.

"Jadi sudah pasti saya tidak sabar untuk membuat penampilan pertama bersama TFC, saya tekad peragakan aksi terbaik setiap kali diturunkan jurulatih.

"Saya juga harap dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukan dalam misi melakar kemenangan dalam setiap perlawanan," kata Tukhtasinov yang dijangka bakal bergandingan dengan kapten, Habib Haroon di jentera tengah pasukan.

Berdasarkan rekod, pemain kelahiran Uzbekistan yang sebelum ini 'direkrut' TFC tidak pernah mengecewakan selepas berjaya memberikan impak yang besar buat skuad itu sebagaimana pemain tengah, Sanjar Shaakmedov yang pernah beraksi bersama TFC selama dua musim bermula 2019.

Bagaimanapun sejauh mana kemampuan Tukhtasinov yang pernah dijulang sebagai 'arkitek' terbaik dalam liga negaranya bakal terjawab tidak lama lagi terutama berdepan PDRM FC pada aksi ke-17 Liga Super Ahad ini.

Semalam bekas pemain kelab Neftchi Fergana dalam Liga Uzbekistan itu diikat kontrak selama 18 bulan sehingga akhir tahun depan bagi mengisi kuota pemain import bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 3:18 PM