PEMAIN TFC, giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan  KL City FC. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC, giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan KL City FC. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok pastinya menjanjikan persaingan menarik.

Ini kerana ia bukan hanya membabitkan 'pertempuran' kedua-dua pemain di atas padang yang mengintai peluang ke pentas final, tetapi pertembungan itu juga membabitkan dua pengendali kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner, 57, yang mengemudi TFC manakala rakan senegaranya, Nenad Bacina, 52, membimbing KL City FC.

Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy' pastinya tidak lena tidur merangka strategi lebih ampuh untuk membalas dendam berikutan kekalahan pada aksi separuh akhir Piala FA pada Jun lalu kepada skuad The City Boys itu.

Ketiadaan 'arkiteknya', Nurillo Tukhtasinov yang digantung satu perlawanan susulan menerima dua kad kuning pastinya begitu dirasai.

Tambah memeningkan kepala apabila seorang lagi perancang dari Filipina, Omid Nazari mengalami kecederaan hamstring dan mungkin terpaksa diketepikan pastinya mengundang keresahan buat jurulatih itu.

Namun Steinbruckner akui beliau tidak bimbang mengenai situasi dialami dua pemain tonggaknya itu malah berkeyakinan kerana pemain lain mampu menggalas tugas berkenaan dengan baik berdasarkan prestasi semasa.

"Saya sudah membayangkan beberapa nama yang mampu menggalas tugas yang ditinggalkan pemain kelahiran Uzbekistan itu, paling hampir ialah Liridon Krasniqi yang bermain dengan baik ketika menentang Sri Pahang FC Ahad lalu, dia mungkin bergandingan dengan Habib Haroon di bahagian tengah.

"Ini kerana saya tidak mahu mengubah begitu banyak posisi dan corak permainan melainkan apa yang saya perlu sahaja, lagipun saya begitu gembira kerana terdapat ramai pemain yang mampu beraksi dengan baik sebagaimana ketika menentang Sri Pahang FC, jadi saya tidak perlu bergantung kepada Tukhtasinov dan Nazari.

"Bagaimanapun saya mengharapkan pelibatan maksimum daripada semua pemain untuk mencapai matlamat lebih-lebih lagi kami kini berkelebihan satu jaringan selain bermain di hadapan penyokong sendiri, matlamat awal sudah tentu akan meningkatkan keyakinan kami," katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama bulan lalu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, skuad Penyu membawa pulang bekalan tipis selepas melakar kemenangan 2-1 hasil jaringan Ivan Mamut dan pemain sayap, Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Manakala gol lawan menerusi sepakan penalti bekas pemain TFC, Kipre Tchetche.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:38 PM